DUA PELAJAR UTEM MAUT, DUA CEDERA PULANG KE KAMPUS
JASIN 26 Disember – Dua pelajar perempuan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki terbabas merempuh penghadang besi di Kilometer 186.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada jam 6.30 pagi itu, Nurul Syafiqah Nasruddin dan Nurhanis Afryna Azizan masing-masing berusia 19 tahun maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala manakala dua lagi masing-masing berusia 20 dan 21 tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata siasatan awal mendapati keempat-empat pelajar yang menaiki kereta jenis Perodua Myvi itu dalam perjalanan pulang ke kampus dari Johor Bharu menghala ke Melaka.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta dipandu gagal dikawal sebelum terbabas merempuh penghadang besi kiri lebuhraya.
“Akibat kemalangan itu, seorang penumpang tempat duduk hadapan dan penumpang tempat duduk belakang pada sebelah kiri maut di lokasi kejadian.
“Pemandu kereta berkenaan cedera pada bahagian kaki manakala seorang lagi penumpang tempat duduk belakang pada sebelah kanan luka ringan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ahmad Jamil berkata, kemalangan dipercayai berpunca gagal mengawal kenderaan dan merempuh penghadang besi di lokasi kejadian.
“Siasatan lanjut mendapati kereta dipandu milik kakak kepada pemandu berusia 20 tahun.
“Mayat mangsa dihantar Unit Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat manakala dua lagi dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.