Sorting by

×

DUA NELAYAN TELOK MAS HILANG 7 HARI DITEMUI SELAMAT DI DUMAI

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

TELOK MAS 22 Januari – Dua nelayan yang dilaporkan hilang ketika keluar memukat ikan di perairan Pulau Undan pada 15 Januari lalu ditemui selamat di Dumai, Indonesia.

Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, kedua-dua mereka yang berpangkalan di Jeti Nelayan Padang Temu, diselamatkan nelayan Indonesia selepas bot mereka hanyut akibat cuaca buruk, selain mengalami kerosakan enjin.

“Kami bersyukur kedua-dua mangsa ditemukan dalam keadaan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan serius.

“Mereka kini berada di Dumai dan pihak kami sedang bekerjasama dengan Konsulat Malaysia di sana bagi menguruskan proses penghantaran mereka pulang ke Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Khairi turut mengingatkan kepada nelayan dan orang awam supaya lebih berhati-hati dengan perubahan cuaca yang tidak menentu serta memastikan bot berada dalam keadaan baik dan dilengkapi peralatan keselamatan sebelum keluar ke laut.

Pada 17 Januari lalu, media melaporkan dua nelayan hilang selepas bot mereka mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Undan.

Kedua-dua mereka bagaimanapun sempat menghubungi majikan memaklumkan enjin bot rosak sebelum majikannya melaporkan kepada polis, sebelum operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) dimulakan pada 16 Januari lalu.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas merangkap Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman telah menghubungi kedua-dua nelayan tersebut menerusi satu panggilan video di kediaman keluarga mereka di Permatang Pasir.

Beliau turut menyatakan kesediaan untuk membantu mempermudahkan urusan membawa pulang kedua-dua nelayan kembali ke pangkuan keluarga masing-masing.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

215
Kongsi :
Previous post PEMBUKAAN SEMULA ‘KOLAM AIR PANAS GADEK’ BERI LIMPAHAN EKONOMI SETEMPAT
Next post RESTORAN TERAPUNG MENDAM BERAHI PPSPM BEROPERASI FEBRUARI DEPAN
Ubah saiz-+=