Sorting by

×

Dua motosikal bertembung, kontraktor maut

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 4 Ogos – Seorang kontraktor maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Tasek Utama 43 Ayer Keroh, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, mangsa, Md Hazrin Yusuf, 47, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Tasek Utama sedang menghala ke Jalan UTeM.

Katanya, ketika mangsa sedang bergerak lurus, datang sebuah motosikal Honda RS-X dari arah bertentangan yang ditunggang jurutera berusia 41 tahun dipercayai hilang kawalan dan merempuh motosikal mangsa.

“Akibat pelanggaran itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian, manakala jurutera berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan sedang menerima rawatan di zon kuning Hospital Melaka.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian,” katanya.

Christopher berkata, siasatan lanjut masih diteruskan memandangkan lokasi kemalangan tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Katanya, saksi bebas diminta tampil bagi membantu siasatan dan pihak polis juga sedang berusaha mendapatkan rakaman kamera papan pemuka (dashcam) daripada mangsa yang cedera.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5154
Kongsi :
Previous post SULAM: UTeM-Indonesia jalin pemindahan ilmu
Next post Berkebaya di bumi Itali
Ubah saiz-+=