
Dua minit, lawan tumbang
KUALA LUMPUR 5 Jun – Hanya dua minit diperlukan Wan Mohammad Sabri Wan Mohd Zaki dari Persatuan Muaythai Melaka untuk menumbangkan lawannya pada Kejohanan DBKL Kuda Merah Muaythai Challenge, semalam.
Kemenangan itu, sekali gus melayakkannya memenangi Tali Pinggang Sinar Harian.
Dalam aksi di Stadium Titiwangsa itu, Wan Mohammad Sabri atau lebih dikenali dengan nama pentas Sabri Thai V6 turun beraksi dalam kategori superfight menentang Mohammad Rais Junaidi yang mewakili Kelab Muaythai Kuda Merah PDRM.
Aksi dimulakan dengan kedua-dua saling melakukan asakan.

Namun kelincahan Sabri Thai V6 nyata bukan tandingan apabila lawannya rebah meskipun baru memasuki dua minit pusingan pertama.
Ia sekali gus membuatkan pengadil memberi kemenangan TKO (Technical Knock Out) kepada petinju berusia 22 tahun itu selepas lawannya tidak lagi berdaya meneruskan perlawanan.

Kemenangan itu nyata menjadi penyuntik semangat buat atlet SUKMA Melaka itu selepas turut meraih tali pinggang utama pada Kejohanan Kuda Merah Muaythai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Februari lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.