
DUA MAUT, TIGA PARAH DALAM KEMALANGAN DI JOHOR BAHRU
Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak berkata yang meninggal dunia dalam kemalangan pada kira-kira 3 petang itu adalah pemandu kereta berkenaan yang merupakan seorang wanita berumur 58 tahun, dan seorang kanak-kanak berusia setahun.
Beliau berkata kejadian berlaku semasa kereta Perodua Myvi dari arah Jalan Bestari menghala ke Pekan Tiram itu dikatakan sedang membelok ke kanan, apabila sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan tidak sempat mengelak dan melanggar bahagian kanan kereta berkenaan.
“Pelanggaran menyebabkan kereta Perodua Myvi itu berpusing dan turut dilanggar dari arah belakang oleh sebuah lagi kenderaan pacuan empat roda,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Sohaimi berkata pemandu wanita itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk, manakala kanak-kanak itu pula meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Selain itu beliau berkata tiga lagi penumpang Perodua Myvi iaitu dua wanita berusia 83 dan 62 tahun serta seorang kanak-kanak berumur tiga tahun yang parah, turut menerima rawatan di HSI.
Beliau berkata seorang pemandu Toyota Hilux hanya mengalami cedera ringan, manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.