Dua maut selepas makan bihun goreng dan telur
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata remaja itu telah menjamah makanan yang dibawa balik ibunya selepas menghadiri program keagamaan di sekolah berkenaan Sabtu lepas.
Beliau berkata selepas memakan makanan tersebut, mangsa serta ibu bapanya telah mengalami cirit-birit dan pada 1.30 tengah hari semalam mangsa tidak sedarkan diri.
“Bapa mangsa telah menghubungi pihak MERS 999 untuk mendapatkan bantuan. Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Noor Ariffin berkata mangsa kedua pula memakan makanan yang dibawa oleh bapanya yang bertugas sebagai pengawal keselamatan di sekolah tersebut pada Sabtu dan didapati demam, muntah-muntah serta cirit-birit sekitar 10.45 pagi semalam.
“Ibu mangsa telah membawa mangsa ke Hospital Selayang. Mangsa disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan,” katanya.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Selayang bagi tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Menurut Noor Ariffin, makanan dalam kedua-dua kes dikenal pasti sebagai bihun goreng dan telur.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ketua Balai Polis Gombak Insp Heirme Che Mat di talian 014-2389151 atau Pegawai Penyiasat Insp R. Khalpna (012-5018901) atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak (03-61262222). – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.