Dua lelaki cedera tabung NGV meletup di stesen minyak
Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Faiz Suleiman berkata kejadian berlaku semasa pemandu lori berusia 64 tahun yang membawa muatan makanan laut itu sedang mengisi gas berkenaan ke dalam tabung NGV lori, apabila ia tiba-tiba meletup.
Beliau berkata 14 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Larkin bergegas ke lokasi kejadian selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 12.05 tengah hari, dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1.30 tengah hari.
Katanya pemandu lori itu mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan, manakala seorang pekerja di stesen minyak berkenaan yang berumur 57 tahun, cedera di kaki kanan akibat terkena serpihan letupan, dan kedua-dua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Aminah bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Kesan letupan itu turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah teksi dan bangunan stesen minyak itu serta bangunan sebuah hostel berhampiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis mengenai kejadian berkenaan. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.