Dua kertas siasatan dibuka berhubung wanita persenda pegawai rendah polis, ugut orang awam
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, seorang pengadu mendakwa dia telah didatangi suspek wanita itu dan bertindak memarahinya kerana membuat bising di rumah jiran.
“Kemudian suspek telah memperkenalkan diri sebagai penjawat awam dengan nada suara yang tinggi dan mengatakan ingin menahan pengadu atas alasan pengadu membuat bising dan mengugut hendak memukulnya, selain memarahi orang yang berada di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian itu juga Hussein berkata, wanita itu juga turut mempersenda pegawai rendah polis dan tidak memberikan kerjasama, untuk menunjukkan kad kuasa apabila diminta.
Susulan kejadian itu, katanya polis membuka dua kertas siasatan iaitu laporan oleh pengadu di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan, kerana ugutan jenayah dan laporan oleh pegawai rendah polis berkenaan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, kerana menghalang tugas penjawat awam dan menggunakan perkataan kurang sopan dan menghina.
Hasil pemeriksaan lanjut katanya didapati terdapat dua buah video tular di media sosial berhubung kejadian tersebut dan bertindak atas maklumat, suspek kemudian dikenal pasti dan telah dipanggil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk siasatan lanjut.
“Polis ingin menasihati masyarakat agar tidak terus menularkan video tersebut dan memberikan komen-komen yang boleh menggugat ketenteraman awam serta mengganggu proses siasatan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.