Sorting by

×

Dua kanak-kanak maut, ibu kritikal bilik sewa terbakar

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDA HILIR 11 Julai – Dua kanak-kanak perempuan maut manakala ibu mereka masih kritikal selepas terperangkap dalam kebakaran di sebuah rumah kedai di Jalan Plaza Mahkota, awal petang tadi.

Dalam kejadian pada jam 1.32 petang itu, mangsa, Nuralia Karisa Abdullah, 12 dan adiknya, Nur Riaisah Zahra, 2 disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka.

Ibu kedua-dua mangsa berusia 40 tahun bagaimanapun masih belum sedarkan diri dan kritikal.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata ketika kejadian, pemilik kedai menjual pelekat menyedari premis tingkat atasnya berlaku kebakaran sebelum menghubungi pihak bomba.

Katanya, siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 22 tahun bersama isterinya berada di tingkat dua premis berkenaan dan mendapati asap kuat masuk ke biliknya sebelum menyelamatkan diri.

“Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lain, anggota bomba berjaya mengeluarkan tiga lagi mangsa termasuk dua kanak-kanak yang berada di sebuah bilik di tingkat tiga bangunan terbabit.

“Tiga lagi mangsa yang merupakan anak-beranak itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan semua mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata pasangan suami isteri itu dilaporkan stabil namun dua kanak-kanak masing-masing berusia 12 dan dua tahun bagaimanapun disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan.

“Manakala ibu kedua mangsa masih kritikal dan dirawat di hospital sama,” katanya.

Christopher berkata siasatan lanjut mendapati premis yang terbakar itu adalah bangunan tiga tingkat dan mempunyai 21 bilik yang disewakan.

Jelasnya, unit yang terbakar adalah unit bilik sewa yang dimiliki oleh pemilik premis pelekat di tingkat satu bangunan terbabit.

“Ketika kejadian, tiada penghuni lain berada dalam bilik masing-masing dipercayai keluar bekerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3601
Kongsi :
Previous post TMM2024: Melaka mendahului Kelantan
Next post CMI Infra sedia bantu selesai aduan rakyat
Ubah saiz-+=