Dua juta penjawat awam dan pesara terima bantuan Aidilfitri
KUALA LUMPUR 22 April. – Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 untuk penjawat awam yang akan dibayar bersama gaji pada 6 Mei depan.
Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, pesara pula akan menerima RM250.
Bantuan itu akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.
“Kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan Contract Of Service, Contract For Service, pegawai sambilan harian serta lantikan di bawah MySTEP dan RM250 kepada pesara kerajaan.
“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh yang penuh cabaran ini,” demikian menurut kenyataan itu.
Menurut Pejabat Perdana Menteri, pengumuman pemberian Bantuan Khas Aidilfitri itu dibuat lebih awal berbanding tahun sebelumnya sebagai tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu penjawat awam dan pesara membuat persiapan awal untuk meraikan Aidifitri.
“Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini (akan) dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” demikian menurut kenyataan itu lagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.