Sorting by

×

Dua jentera bomba tenggelam sudah ditunda

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

MASJID TANAH 20 Dis – Dua jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka yang tenggelam dalam banjir di Lubok China, di sini awal pagi kelmarin, sudah ditunda malam tadi.

Jentera berkenaan iaitu kenderaan pemadam api dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang tenggelam dalam banjir di Lubok China ditunda kira-kira jam 9 malam tadi selepas banjir surut mulai jam 5 petang semalam.

Kenderaan itu terpaksa ditunda kerana enjinnya tidak boleh dihidupkan bagi mengelakkan kerosakan lebih teruk.

Tinjauan di lokasi kejadian hari ini mendapati air di Balai Polis Lubok Cina dan kawasan kira-kira 50 meter dari balai itu sudah surut, manakala kawasan bulatan di tengah pekan berkenaan masih belum surut sepenuhnya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi kelmarin, kedua-dua jentera itu tenggelam, dipercayai ketika anggota bomba berusaha menyelamatkan mangsa banjir di beberapa kampung seperti Pengkalan Pauh dan Telok Berembang.

Sekembalinya mereka ke jentera itu, mereka mendapati kedua-dua kenderaan sudah tenggelam dan difahamkan kenderaan itu gagal dikeluarkan dari kawasan berkenaan kerana arus dari Sungai Rembau yang melimpah ke pekan itu terlalu deras dan berbahaya.

Seramai 22 anggota dari balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah dan Alor Gajah dilaporkan menyelamatkan 87 mangsa banjir di Kampung Telok Berembang, Taman Wira Indah, Kampung Tirian Bintangor dan pekan Lubok Cina ketika banjir besar, kelmarin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1313
Kongsi :
Previous post Mangsa banjir meningkat lebih 61,000 di Selangor dan Pahang setakat tengah hari
Next post Semua hutan lipur di N. Sembilan ditutup sementara – JPNS
Ubah saiz-+=