Dua hari diperlukan padam kebakaran tanah gambut- JBPM
SERKAM 27 Feb. – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka terpaksa mengerahkan 35 anggota bagi memadamkan kebakaran dalam tempoh lebih 24 jam di kawasan belukar dan ladang kelapa sawit di Kampung Bukit Durian, di sini.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Melaka, Penguasa Bomba Kanan II, Muhammad Izwan Arief Mat Nor berkata, tindakan pantas itu perlu diambil bagi menghalang kebakaran merebak ke kawasan seluas 24 hektar dengan menyasarkan kerja pemadaman dalam masa 24 jam lagi bagi memastikan api dipadam sepenuhnya.
Katanya, pihaknya memulakan kerja pemadaman api pada jam 4.59 petang semalam dengan lebih 35 peratus daripada kawasan jenis tanah gambut terbakar dalam kejadian itu.
“Cuaca panas dan kering mengakibatkan api merebak dengan cepat dan pihak bomba turut mengalami kesukaran bagi mencari sumber air untuk memadam kebakaran.
“Pasukan kami bertungkus-lumus lumus mengawal kebakaran secepat mungkin bagi mengelak kejadian ‘api lompat’ yang berisiko berlaku di kawasan lain disebabkan cuaca terlalu panas dan angin kuat di kawasan ini.
“Malah, kita terpaksa menggunakan pam angkut untuk menyedut air bagi memadam kebakaran selain memerlukan bantuan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mendalamkan tali air untuk memadamkan kebakaran ini,” katanya kepada pemberita di pusat operasi pemadaman, di sini hari ini.
Beliau berkata, antara perkara diambil kira pasukannya adalah risiko penglihatan pengguna jalan raya disebabkan kawasan kebakaran terletak kira-kira hanya 300 meter dari lebuh raya Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ).
“Kawasan ini sangat dekat dengan laluan utama AMJ dan kita bimbang sekiranya pembakaran ini tidak dikawal dengan cepat, asap kebakaran akan mengganggu penglihatan pengguna jalan raya.
“Bagaimanapun, setakat ini kebakaran ini tidak membahayakan penduduk setempat dengan jarak lokasi dengan rumah terdekat adalah kira-kira 500 meter,”katanya.
Pada masa sama, Muhammad Izwan tidak menolak pembakaran terbuka hasil daripada pembersihan belukar oleh orang awam menjadi punca kepada kebakaran terbabit.
“Orang ramai diingatkan agar tidak melakukan sebarang aktiviti pembakaran terbuka terutama pada waktu musim panas yang berlaku kali ini menjadikan api boleh merebak dengan cepat,” tegasnya.
Operasi pemadaman dijalankan terbabit melibatkan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Merlimau, Bukit Katil, Ayer Keroh dan Jasin.
Turut memberi bantuan adalah pihak Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.