Dua hari dapat 6,516 pengunjung
AYER KEROH: Seramai 6,516 orang mengunjungi Taman Tema Dinosaur Encounter di Zoo Melaka, di sini sepanjang dua hari pertama sejak ia mula dibuka Jumaat lalu.
Jumlah berkenaan memberikan keyakinan kepada pihak pengurusan Zoo Melaka, lebih ramai pengunjung dijangka dicatatkan menjelang hujung bulan ini.
Pengarah Zoo Melaka, Zanariah Khamis berkata, kebanyakan pengunjung datang dari Johor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, selain Melaka sendiri yang berminat dengan haiwan prasejarah itu.
“Ketika mula dibuka kelmarin, seramai 3,056 pengunjung dicatatkan dan meningkat kepada 3,460 orang semalam dan ia dijangka terus mencatatkan kehadiran pengunjung yang tinggi menjelang hujung bulan ini.
“Situasi itu memberikan prospek amat cerah untuk taman tema dinosaur interaktif yang terbesar di Asia Tengara itu untuk menghasilkan pulangan membanggakan bagi Zoo Melaka,” katanya di sini hari ini.
Zanariah berkata, sebanyak 100 spesis dinosaur robotik dipamerkan untuk orang ramai di kawasan seluas empat hektar, sekali gus menyediakan peluang untuk pencinta kehidupan haiwan prasejarah mengenali secara lebih dekat haiwan gergasi itu.
Katanya, larangan merentas negeri yang ditamatkan kerajaan pada 7 Disember lalu antara faktor utama membantu Zoo Melaka dan taman tema berkenaan mencatatkan peningkatan jumlah pengunjung, berbanding ketika larangan itu berkuat kuasa sebelum itu.
Taman berkenaan mengenakan caj RM38 bagi pengunjung dewasa dan RM31 bagi kanak-kanak berdasarkan pelbagai kemudahan disediakan bagi memastikan pengunjung benar-
benar menikmati kepuasan sepanjang berada di lokasi menarik itu.
Beliau menjelaskan, caj berkenaan meliputi pakej lawatan pengunjung ke seluruh kawasan zoo, berbanding caj RM25 (dewasa) dan RM21 (kanak-kanak) sebelum taman tema itu beroperasi.
Sementara itu, pengujung Zamzuri Abdul Rahman, 35, berkata dia dan empat anggota keluarganya amat teruja menyaksikan kehebatan seni pembuatan pelbagai spesis dinosaur yang disifatkannya sebagai ‘indah dan seakan-akan bernyawa.’
“Lazimnya saya dan anggota keluarga hanya menyaksikan dinosaur dalam filem seperti ‘Jurassic Park’ tetapi kali ini kami seolah-olah menyaksikan dinosaur yang hidup di hadapan mata kepala kami,” katanya.
Samsarina Abdul Hamid, 46, berkata beliau mengambil kesempatan cuti sekolah sekarang untuk menggembirakan tiga anaknya berusia antara 10 hingga 15 tahun
menyaksikan pelbagai spesis haiwan dalam zoo dan dinaosaur.
“Kami bercuti selama seminggu di negeri ini dan taman tema dinosaur adalah satu daripada tumpuan kami, selain lokasi tinggalan sejarah di Banda Hilir dan kami
amat seronok menyaksikan dinosaur yang bagaikan bernyawa,” katanya.