Sorting by

×

Dua duda tokan dadah antara 47 ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

JASIN 5 Mei. – Dua duda yang dipercayai mencari duit tambahan dengan menjual dadah antara 47 individu ditahan dalam Op Tapis Khas Bersepadu Ahad lalu.

Operasi dijalankan sepasukan 67 pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Melaka bermula pada jam 12 tengah malam dan berakhir enam jam kemudian menahan semua suspek berusia antara 19 hingga 60 tahun.

Ketua JSJN negeri Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dua suspek yang bekerja sebagai buruh masing-masing berusia 44 dan 46 tahun ditahan di dalam bilik belakang sebuah rumah di Felcra Bukit Sedanan, Selandar jam 1.30 pagi.

Katanya, pemeriksaan polis turut menemukan sebuah beg mengandungi tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan dadah jenis heroin seberat 26 gram dan satu paket plastik lutsinar dadah disyaki jenis syabu seberat 3.2 gram, yang keseluruhannya bernilai RM900.

“Hasil soal siasat kedua-dua suspek yang juga duda mengakui menjalankan aktiviti pengedaran dadah heroin dan syabu di kawasan Selandar.

“Semakan mendapati suspek berusia 44 dan 46 tahun itu masing-masing memiliki tiga dan empat rekod jenayah dadah.

“Turut dirampas sebuah motosikal jenis Yamaha 150ZR bernilai RM10,000 yang dipercayai digunakan suspek bagi aktiviti pengedaran dadah dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata dalam operasi sama, polis menahan 44 lelaki dan tiga wanita dipercayai terbabit dalam aktiviti memiliki dan mengedar dadah.

Katanya, semua suspek berkenaan ditahan dalam 50 serbuan dijalankan di sekitar daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

“Dalam serbuan itu, polis merampas 33.68 gram dadah heroin ;12.20 gram syabu dan 32.7 liter cecair ketum yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM2,750,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1221
Kongsi :
Previous post Rentas daerah dan negeri untuk vaksinasi COVID-19 tidak perlu surat polis- Khairy
Next post Qari, qariah Indonesia johan Tilawah Al-Quran Antarabangsa DMDI kali ke-11
Ubah saiz-+=