Dua ditahan perdaya rakyat Malaysia jadi pekerja operator pusat panggilan
Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk S. Sasikala Devi berkata bertindak atas maklumat, pihaknya menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat terletak di Taman Setia Impian, Kajang, pada kira-kira 6.30 petang yang membawa kepada penahanan kedua-dua suspek berusia 35 dan 40 tahun itu.
“Hasil soal siasat, warga Taiwan tersebut didapati masuk secara sah ke dalam negara sebagai pelancong sekitar April lepas sebelum merekrut seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penghantar pekerja operator yang direkrut mereka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini hari ini
Sasikala Devi berkata suspek akan menerima upah sekitar USD1,000 (RM4,455.50) bagi seorang pekerja tempatan yang direkrut, daripada sindiket antarabangsa yang menjalankan kegiatan operator pusat panggilan (scam) dan judi, selain mereka turut menggunakan ejen tempatan dengan bayaran komisen yang tinggi sekiranya berjaya mendapatkan pekerja.
Menurutnya tawaran iklan pekerjaan itu dilakukan menerusi media sosial bagi mencari dan memperdayakan warga tempatan yang berminat untuk bekerja di luar negara.
“Setiap pekerja yang berminat mesti mempunyai pasport yang sah sebelum mereka dihantar ke sindiket di Dubai di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Myanmar,” katanya.
Beliau berkata suspek lelaki Taiwan itu akan menguruskan proses mendapatkan sijil pemeriksaan kesihatan COVID-19 dan tiket penerbangan melalui sebuah agensi pelancongan di Taiwan.
Susulan serbuan itu, menurutnya turut dirampas enam telefon bimbit, 14 pasport Malaysia masing-masing 10 atas nama wanita dan empat lelaki berusia antara 19 dan 40 tahun; 14 borang pemeriksaan COVID-19; 19 borang visa kebenaran ke Myanmar; tujuh borang visa ke Dubai yang kesemuanya atas nama individu berlainan dengan ada antaranya dijadualkan berlepas ke Myanmar akhir Julai ini.
“Siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti jumlah dan identiti warganegara tempatan yang telah berlepas ke luar negara. Kedua-dua suspek direman empat hari hingga esok dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.