Dua beranak terlibat kes khianat di CIQ Linkedua ditahan

Masa Membaca:58 Saat

JOHOR BAHRU, 15 Julai – Seorang wanita tempatan dan anak lelakinya warga Singapura yang terlibat dalam kes khianat di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua), ditahan pada 9.15 malam semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin berkata wanita berusia 46 tahun yang juga memiliki taraf penduduk tetap (PR) Singapura dan anaknya berumur 18 tahun itu, ditahan di Pos Pemeriksaan Kastam laluan masuk Singapura ke Malaysia, Kompleks Sultan Abu Bakar, Tanjung Kupang.

Beliau berkata ketika siasatan kedua-duanya mengaku terlibat dengan kes tersebut dan direman sehari pada hari ini.

“Dalam kejadian itu, suspek dipercayai tidak berpuas hati kerana kenderaannya telah dihalang serta bergesel semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video berdurasi dua minit enam saat memaparkan tindakan seorang wanita berdiri di hadapan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan menahannya daripada bergerak di Linkedua.

Dalam rakaman video itu, wanita terbabit dilihat mencabut nombor plat kenderaan berkenaan dan membalingnya, sebelum seorang lelaki muncul dari sebuah kereta berwarna merah dengan nombor pendaftaran Singapura dan menunjukkan isyarat lucah kepada pemandu MPV itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1230
Kongsi :
Previous post KPDNHEP Melaka periksa 22,544 premis jual minyak masak
Next post Lelaki diburu buat laporan palsu bunuh isteri
Ubah saiz-+=