Sorting by

×

DUA BERADIK NAHAS KM204 MENANGIS DIMAKLUMKAN IBU BAPA SUDAH TIADA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BUKIT PALAH 28 Disember – Dua beradik yang terselamat dalam nahas di Kilometer 204 Lebuhraya Utara Selatan arah utara berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, Isnin lalu dibenarkan pulang hari ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata dua kanak-kanak masing-masing berusia empat dan tujuh tahun itu berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang petang tadi.

Katanya, beliau difahamkan dua kanak-kanak berkenaan akan ditempatkan bersama datuk dan nenek sebelah bapa.

“Muhammad Uwais Al-Qarni Khairul Ikhwan, 7, Nur Sofea Humaira, 4, akan dihantar pulang ke kediaman mereka di Bangi menaiki ambulans,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata, mengenai berita kematian ibu bapa serta tiga ahli keluarganya yang lain termasuk adik bongsu mereka, kedua-dua kanak-kanak itu sudah mengetahuinya semalam.

“Seorang doktor psikiatri bersama ahli keluarga sudah memberitahu mengenai berita sedih itu, mereka berdua menangis dan sedih menerima berita itu.

“Namun, kedua-duanya akan menjalani rawatan susulan dengan doktor psikiatri dan ortopedik di Hospital Serdang,” katanya.

Dalam nahas pada jam 8.45 malam Isnin lalu, tujuh maut manakala 33 yang lain cedera termasuk pemandu lori berusia 27 tahun parah dalam kemalangan membabitkan sebuah bas, dua buah lori dan dua buah kereta.

Dalam kejadian itu, ibu bapa kanak-kanak itu antara lima sekeluarga yang maut iaitu Khairul Ikhwan Mazupi, 32 dan isteri Fadzlenna Ramli, 32; Ramli Ab Wahab, 66, Fauziah Jaafar, 69, dan Muhammad Umar Khairul Ikhwan, 2.

Dua lagi yang maut ialah pemandu bas persiaran Noorisnien Khamid, 56 dan penumpang warga Singapura Lamrah Asid Ali, 66.

Dalam perkembangan sama, Hee Sem turut memaklumkan pemandu lori yang juga mangsa nahas kemalangan itu sudah sedar dan dijangka menjalani pembedahan pada paha kanan minggu hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1602
Kongsi :
Previous post BAWA PRODUK IKONIK PULAU PINANG KE MELAKA
Next post PENJAWAT AWAM MELAKA BERSYUKUR TERIMA ‘DURIAN RUNTUH’