Dua beradik maut tidak sempat jamah donat
JASIN 30 Januari – Luluh hati seorang bapa apabila melihat keadaan dua anaknya terbujur kaku selepas motosikal dinaiki mereka berdua terbabit dalam kemalangan di Jalan Gapam, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang semalam, Hijjaz Kasturi Ramli, 19, dan kakak sulung Nurul Faqihah Ramli, 21, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ramli Merat, 46 berkata dia menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan anak pertama dan keduanya terbabit kemalangan namun tidak diberitahu mengenai keadaan mereka berdua.
“Kira-kira 4.30 petang saya terima panggilan dari orang awam beritahu mereka berdua kemalangan dan ketika itu saya sangkakan mereka mungkin kemalangan biasa bukannya sampai meragut nyawa.
“Namun sebaik tiba di lokasi kejadian, luluh hati saya saat melihat tubuh Nurul Faqihah terbaring tidak bernyawa manakala Hijjaz ditemui dalam longkang,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Jasin, di sini, hari ini.
Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, meskipun berat menerima kehilangan dua anak serentak namun dia reda dengan pemergian itu.
“Semalam, kira-kira jam 3.30 petang mereka berdua minta kebenaran saya untuk membeli donat di Ayer Keroh dan sebelum keluar saya lihat Hijjaz agak berat hati untuk pergi.
“Mereka berdua memang rapat dan selalu keluar bersama dan petang semalam, kakaknya mengajak adik untuk pergi makan donut tetapi tidak sangka perkara sebegini berlaku,” katanya.
Ramli berkata, tiada perubahan ketara ditunjukkan oleh kedua anaknya namun hanya menyedari Hijjaz lebih banyak membantu dia menguruskan perniagaan menjual produk pertanian yang diusahakan.
“Dia sebelum ini tidak serius bantu saya tetapi seminggu, dua ini semuanya dia yang tolong dan uruskan, tidak sangka pula ianya hanya seketika,” katanya.
Dia turut berkongsi arwah anak sulung perempuannya berhasrat untuk meneruskan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di sebuah universiti di Masjid Tanah selepas tamat latihan praktikal manakala anak keduanya mahu melanjutkan pengajian ke kolej vokasional.
Katanya, dua beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Kemendor selepas proses bedah siasat selesai hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.