Dua beradik maut kereta dirempuh lori tangki

Masa Membaca:58 Saat

KUANTAN, 14 Jun – Dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka dirempuh lori tangki membawa muatan petroleum berhampiran lampu isyarat Felda Lepar Hilir di Jalan Kuantan-Segamat di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata mereka yang maut ialah Siti Mazurah Zulkifli, 30, dan Siti Nur Alia Saffiyah, 18, yang berasal dari Felda Lepar Hilir Satu di sini.

“Kemalangan pada 11 malam itu dipercayai berlaku apabila lori tangki yang dalam perjalanan ke sebuah stesen minyak di Gambang telah hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh kereta mangsa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Kejadian yang berlaku semasa hujan itu meyebabkan kereta yang dipandu Siti Nur Alia Saffiyah terperosok ke bawah lori tangki dan kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Wan Mohd Zahari berkata pemandu lori tangki yang berusia 31 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dan ujian saringan air kencing yang dilakukan adalah negatif.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini untuk bedah siasat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1883
Kongsi :
Previous post Susun semula peniaga selepas aktiviti tambakan laut selesai
Next post INSWA terus angkat martabat Dondang Sayang
Ubah saiz-+=