Dua anggota polis mengaku tidak bersalah samun warga asing
Tertuduh, T. S. Praveen, 31, dan Muhammad Safri Idris, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didakwa telah melakukan rompak berkumpulan ke atas mangsa bernama Anisa dan mengambil seutas gelang tangan berwarna kuning, satu pasport Indonesia, sekeping kad ATM Hong Leong Bank, melibatkan kerugian kira-kira RM1,800.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hotel Bajet AMT Hotel Plaza Mahkota, Melaka Tengah pada pukul 10 malam hingga 11.30 malam, 3 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Selain itu, Praveen dan Muhammad Safri turut didakwa atas pertuduhan memiliki pasport atau dokumen perjalanan dalam negeri milik Anisa tanpa kuasa yang sah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di tepi jalan Kota Melaka, Melaka Tengah, pada masa dan tarikh sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 12 (1) (f) Akta Pasport 1966 dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari memohon mahkamah agar jaminan RM15,000 dikenakan bagi setiap tertuduh, selain meminta supaya mangsa yang merupakan saksi pendakwaan tidak diganggu oleh kedua-dua mereka.
Peguam Andrew Lourdes yang mewakili tertuduh merayu agar jumlah jaminan rendah dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan mereka masih anggota polis dan telah berkhidmat selama tujuh tahun.
Mahkamah membenarkan ikat jamin RM9,000 seorang serta mengenakan syarat tambahan perlu melaporkan diri sekali sebulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai, selain menetapkan 23 Mei ini untuk sebutan semula kes. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.