Dua anggota polis ditahan dipercayai terima rasuah RM300
SUNGAI PETANI, 30 Mac – Dua anggota polis ditahan kerana dipercayai menerima wang rasuah berjumlah RM300 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan tamat tempoh pada 20 Mac lepas.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah berkata kedua-dua mereka berpangkat koperal dan koperal sokongan berumur 45 dan 38 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM cawangan Sungai Petani pada 6.15 petang semalam.
“Anggota polis itu dikatakan telah meminta sebanyak RM1,500 daripada seorang individu yang memandu tanpa lesen dan cukai jalan kenderaan telah tamat tempoh di tepi Jalan Persiaran Amanjaya 2 berdekatan dengan Kolej Vokasional Sungai Petani 1.
“Individu itu dikatakan telah menyerahkan RM300 kepada anggota polis tersebut dan dia diminta untuk membayar baki selebihnya apabila dihubungi oleh anggota polis tersebut,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, kedua-dua mereka yang merupakan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), Kuala Muda direman selama tujuh hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Sungai Petani Nadhirah Abdul Rahim.
Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan itu dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.