Sorting by

×

Dua Ahli Dewan Negara angkat sumpah Senator

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

KUALA LUMPUR, 25 April – Dua Ahli Dewan Negara hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim.

Mereka ialah Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan Datuk A. Kesavadas Nair.

Mohamad Fatmi adalah lantikan baharu oleh Yang di-Pertuan Agong berkuat kuasa mulai hari ini hingga 24 April 2025 manakala Kesavadas Nair adalah lantikan semula oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi tempoh sama.

Kedua-dua mereka mengangkat sumpah sebagai Senator pada majlis yang berlangsung di Dewan Negara di sini.

Rais ketika berucap mengalu-alukan pelantikan dua Ahli Dewan Negara itu mengingatkan mereka supaya memainkan peranan dan tanggungjawab sebagai Senator sebaiknya termasuk dalam usaha mentransformasi Parlimen.

Beliau berkata usaha mentransformasi Parlimen itu harus dipercepatkan dengan mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan meminda Akta Majlis Parlimen berkaitan keistimewaan dan kuasa, agar kewibawaan Parlimen terus berada di kedudukan yang tinggi.

“Saya sesungguhnya berharap inisiatif di bawah agenda transformasi Parlimen dapat diterjemahkan ke arah meningkatkan reputasi Parlimen sebagai institusi yang mempertahankan kepentingan rakyat dan menjunjung nilai demokrasi.

“Harus saya tumpukan juga pemerhatian kita kepada Rukun Negara…alangkah baiknya sekiranya ada usaha sekutu agar Rukun Negara terus dijadikan piagam kenegaraan, kebangsaan dan perjuangan ahli politik serta semua rakyat Malaysia,” katanya yang berharap para Senator memainkan peranan secara lisan dan fizikal ke arah usaha itu.

Dalam pada itu, Kesavadas Nair berharap beliau dapat meneruskan perjuangan dalam membawa pelbagai isu di Negeri Sembilan terutama kesihatan dan pelancongan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Senator.

“Saya akan terus memperjuangkan usaha menubuhkan sebuah lagi hospital di Negeri Sembilan memandangkan Hospital Tuanku Ja’afar di Seremban sangat padat kerana terlalu ramai pesakit,” katanya yang juga berharap Port Dickson dijadikan kawasan bebas cukai.

Sementara itu, Mohamad Fatmi berharap beliau dan Ahli Dewan Negara yang lain dapat membawa idea baharu dan mencadangkan penambahbaikan kepada sebarang rang undang-undang yang dibentangkan demi kepentingan agama, bangsa dan negara. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1237
Kongsi :
Previous post Sambutan bazar Jalan Hang Tuah luar jangka, raih jualan RM1.6 juta
Next post PMM peruntukkan RM17,300 bantu pelajar
Ubah saiz-+=