DTRC panjangkan jangka hayat tapak pelupusan Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

DUYONG 6 Julai – Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) yang dibina Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dapat membantu memanjangkan jangka hayat tapak pelupusan sampah sedia ada di negeri ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pengoperasian DTRC itu juga merupakan antara indikator MBMB ke arah mencapai matlamat Bandaraya Rendah Karbon menjelang tahun 2025.

Katanya, DTRC yang terletak di Taman Bandaraya Bukit Serindit itu merupakan satu inisiatif baharu yang dilaksanakan MBMB sebagai antara bentuk pendidikan selain memberi kesedaran kepada komuniti bandaraya tentang kepentingan aktiviti kitar semula.

“Ini merupakan satu inisiatif galakan daripada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar semua pihak berkuasa tempatan (PBT) mewujudkan DTRC di setiap kawasan pentadbiran masing-masing.

“Pelaksanaan DTRC antaranya memupuk kesedaran dalam kalangan komuniti tentang kepentingan kitar semula dalam pemeliharaan alam sekitar selain untuk menggalakkan komuniti menjana ekonomi (circular economy) melalui penjualan barangan kitar semula.

“Melalui inisiaitif ini juga kita dapat memanjangkan hayat tapak pelupusan sampah dengan mengurangkan sisa yang dihantar kerana berdasarkan statistik sisa pepejal yang dihantar ke tapak pelupusan sampah mencatatkan sebanyak 1,300 tan sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula Pandu Lalu (DTRC) @ Taman Bandaraya Bukit Serindit, yang turut dihadiri Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput berkata, idea konsep pandu lalu DTRC di Taman Bandaraya itu bersifat mesra pengguna yang mana ia dapat memudahkan komuniti serta orang awam menghantar barangan untuk dikitar semula.

“Norma dan budaya kitar semula ini perlu diterap dan diamalkan dalam kalangan masyarakat ia bagi mewujudkan persekitaran yang indah, bersih serta selesa.

“Ini juga dapat membentuk komuniti bandaraya yang mengamalkan gaya hidup mampan selain besar harapan saya agar DTRC ini dapat diperluaskan di kawasan lain pada masa akan datang,” katanya.

Menurut Rais, selain DTRC, penganjuran program Anda Kitar, Kami Bayar yang turut dilaksanakan MBMB sebelum ini turut mendapat sambutan hebat selepas dimulakan sejak 2022.

“Ia menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap kitar semula semakin meningkat dan saya berharap lebih ramai dapat menerapkan amalan hijau di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post Yayasan Restu pilih lebar sayap di Melaka
Next post Saluran Telegram ‘MyMelaka News’ disambut baik warga pendidik
Ubah saiz-+=