Drag Race, litar geng anak muda berlumba
MERLIMAU 27 Feb – Dr As. 100 Days Drag Race yang julung kali diadakan di Semenanjung Barat Malaysia bakal memberi impak positif kepada dunia permotoran termasuk mengasah bakat baru di litar lumba.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata, trek sepanjang 750 meter dalam kawasan perindustrian itu melibatkan penyertaan kira-kira 90 buah kereta dan 70 buah motosikal dari seluruh Malaysia mengikut garis piawaian ditetapkan.
Katanya, penganjuran itu secara tidak langsung memberi platform buat peminat dunia perlumbaan dari seluruh Malaysia untuk mengasah bakat di litar yang disediakan sekali gus mengelakkan kegiatan lumba haram.
“Apa bezanya kita berlumba di litar F1 dan disini? Tak ada bezanya. Keduanya perlu mengikut undang-undang yang betul dan kita kat sini melatih mereka mengikut peraturan sepatutnya.”
“Jadi Drag Race atau kita panggil Hub Permotoran Merlimau ini bersifat kekal bukan hanya hujung minggu tetapi harian yang mana geng-geng motor kalau dia nak ‘test skill’ motor dia, bawa ke litar dan kita ‘race’ ikut peraturan,” katanya kepada Melaka Hari Ini (MHI).
Mengulas mengenai idea penganjuran acara itu, ujarnya, ia tercetus susulan daripada penglibatan aktiviti lumba haram dalam kalangan anak muda yang membahayakan pengguna jalan raya lain.
Dr Akmal yang juga Exco Kesihatan dan Antidadah negeri berkata, pembinaan litar itu juga merupakan inisiatif menyantuni dan membalas jasa pengundi dalam kalangan golongan muda.
“Kiranya ‘Drag Race’ ini kita tunaikan janji Barisan Nasional (BN) kepada golongan muda yang mahukan hiburan dan tempat untuk mereka menyalurkan minat mereka tanpa kena tindakan undang-undang”
“Jadi kita tak nak lagi dengar ada geng-geng motor yang berlumba kat luar sebab kat sini lengkap dengan fasiliti litar dan ada pengawal yang akan memantau peraturan untuk memastikan semua pelumba pakai helmet, jaket dan kasut,” katanya.
Atas sambutan menggalakkan, Dr Akmal turut bercadang untuk memperluaskan acara tersebut sebagai satu tarikan di Merlimau, sekali gus menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri Pelancongan Permotoran.
“Target kita selain nak memperkenalkan Merlimau di mata Malaysia, kita nak melahirkan dan mencungkil lebih ramai bakat tempatan kerana tidak mustahil selepas ini ada Valentino Rossi lahir di Melaka”
“Tak salah rasanya kalau kita nak jadikan ini acara tahunan mahupun bulanan. Jadi pelumba ‘jalan lurus’ kalau nak tunjuk taring sangat datanglah ke Merlimau,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.