Sorting by

×

DR. SABRI TAK LOKEK KONGSI ILMU, PENGALAMAN

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 25 Februari – Aktif dalam aktiviti kemasyarakatan sejak muda dan sumbangan idea untuk kemajuan negeri melayakkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Madya Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif dinobatkan sebagai penerima Ikon Townhall Untuk Anak Muda Hari Ini (TUAH).

Terdahulu beliau bersama lima lagi individu lain yang antaranya Timbalan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem dan legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, diumumkan sebagai penerima Ikon TUAH.

Penghargaan itu disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh pada program Townhall Untuk Anak Muda Hari Ini (TUAH) berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Berkongsi kegembiraan, beliau berkata, diumumkan sebagai penerima Ikon TUAH dianggap sebagai satu penghargaan yang tidak ternilai daripada Kerajaan Negeri Melaka.

“Sejujurnya saya tidak pernah impikan untuk menerima penghargaan seperti ini, terima kasih kerana memilih saya sebagai Ikon TUAH.

“Boleh katakan ini adalah anugerah berpanjangan, ketika muda saya sendiri turun padang menjayakan pelbagai program, sekarang tiba masanya untuk kongsi pengalaman bersama belia. Ia diibaratkan kesinambungan untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dalam mewujudkan suasana yang sihat kepada anak muda,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, TUAH adalah satu program berimpak tinggi memberikan manfaat dan pendedahan dalam pelbagai perkara kepada anak muda yang juga bakal pelapis pemimpin masa depan negara.

Menurutnya, berikutan itu TUAH wajar dianjurkan dari semasa ke semasa dan dijadikan platform untuk anak muda berkongsi pandangan serta menyuarakan pendapat.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan atau boleh saya katakan cukup luar biasa, pengisian program juga amat bermanfaat, jadi TUAH bukan sekadar program biasa-biasa, impaknya amat meluas.

“Saya berpendapat usaha Kerajaan Negeri Melaka menyantuni anak muda menerusi TUAH amat berkesan, apa tidaknya belia yang hadir kali ini adalah pelapis kepada kempimpinan masa hadapan,” katanya.

Program itu turut dihadiri, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri, Datuk VP Shanmugam; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman, Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

71
Kongsi :
Previous post PANTAI HOSPITAL AYER KEROH BERJAYA LAKSANA 30 PEMBEDAHAN ROBOTIK
Next post CABARAN MENDIDIK GENERASI DIGITAL