Dr. OKU terima anugerah Maal Hijrah atas perkhidmatan kepada masyarakat

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 27 Ogos – Memiliki kekurangan diri sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menghalang penerima Anugerah Cendekiawan Perubatan (Anugerah Ibnu Sina) untuk terus berkhidmat kepada masyarakat dalam bidang perubatan.

Dr. Mohammad Fadhly Yahya, 49 antara sembilan penerima anugerah pelbagai kategori sempena Majlis Perhimpunan dan Penyampaian Anugerah Khas Maal Hijrah 1442H.

Semua anugerah berkenaan disampaikan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Menurut Dr. Mohammad Fadhly yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, penganugerahan yang diterima bukan bersifat peribadi sebaliknya membawa nama kewibawaan jabatannya dalam memberi khidmat terbaik kepada pesakit.

Ujar bapa kepada dua puteri ini, setiap tanggungjawab yang dipikul semua petugas perubatan termasuk dirinya perlu berpaksikan pada keikhlasan hati dan tidak mengharapkan imbuhan kerja semata-mata.

“Kami merawat kira-kira 350 hingga 450 pesakit sehari, jika kita mengharapkan imbuhan atau gaji, memang kita akan merungut.

“Jika kita ikhlaskan diri kita, yang mana saya selalu beritahu warga Jabatan Kecemasan (dan Trauma), inilah peluang besar untuk kita semua kumpulkan pahala,” katanya.

Beliau berkata, memiliki kekurangan OKU tentunya memerlukan sokongan daripada semua pihak terutama ahli keluarga dan rakan sekerja.

“Alhamdulillah, daripada sokongan itu saya kembali bertugas selepas setahun cuti sakit akibat kemalangan dan sekembalinya bekerja aktiviti saya sekarang ini lebih banyak daripada aktiviti saya sebelum kemalangan,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Usahawan Islam (Anugerah Abdurahman Bin Auf), Datuk Ir Dr Khairul Anuar Mohammad Tawi, 60, berkata anugerah yang diterima adalah mesej kepada semua usahawan Islam untuk terus berusaha gigih menyumbangkan masa dan tenaga serta harta untuk tujuan keagamaan.

Katanya, pembabitannya dalam keusahawan hadir berasaskan kepada hadis yang menyatakan 90 peratus daripada sumber rezeki adalah melalui perniagaan.

“Setelah menimba pengalaman kerja sebagai pekerja makan gaji, saya berhijrah untuk menjadi usahawan dan ketika itu saya tidak terfikir untuk membuka perniagaan besar tetapi mahu hidup melalui berniaga.

“Jadi, eloklah setiap lapisan masyarakat tidak kira tua dan muda berniaga tidak kisah besar mana sekalipun sama ada sepenuh masa atau pun sambilan,” katanya.

Views:

409
Kongsi :
Previous post “Jangan termakan ‘psiko’ Perak” – Zainal
Next post Tokoh Maal Hijrah jadi suri tauladan buat masyarakat
Ubah saiz-+=