Sorting by

×

Dr. Husaini dilantik Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM berkuatkuasa 1 Jun

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 2 Jun – Mantan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Dr. Husaini Omar dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu menggantikan Datuk Seri Dr. Hasim Hasan, berkuatkuasa 1 Jun (semalam).

Menurut kenyataan media UTeM, pelantikan bagi tempoh tiga tahun itu dipersetujui Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, selaras dengan peruntukan 17(1) (a) Perlembagaan Universiti.

Husaini Omar, 60, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Geologi) dari Universiti Malaya (UM), beliau seterusnya memperoleh Ijazah Sarjana Kejuruteraan Geologi dari University of Leeds, United Kingdom dan Doktor Falsafah Kejuteraan (Kejuruteraan Sistem) dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Beliau mempunyai pengalaman industri selama lapan tahun sebagai Jurutera Geologi sebelum memulakan karier sebagai pensyarah di Fakulti Kejuruteraan UPM pada 1996.

Hasil kejayaan akademik dan pentadbirannya, beliau dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM pada 15 Februari 2017 sebelum memegang jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) pada 1 Januari 2018 hingga 6 Januari 2019.

Husaini pernah menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dari 1 Jun 2020 sehingga 31 Januari 2021.

Seterusnya beliau dilantik sebagai Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) pada 1 Februari 2021 sehingga 9 Mac 2023.

Justeru, UTeM mengucapkan tahniah atas pelantikan itu dan percaya dengan kepemimpinan, ketokohan, kepakaran serta pengalaman luas yang dimiliki beliau.

Pada masa sama, UTeM turut merakamkan penghargaan kepada Dr. Hasim Hasan atas jasa dan sumbangan hebat diberikan kepada universiti berkenaan sepanjang perkhidmatan beliau di UTeM sehingga 18 Mei 2023.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1578
Kongsi :
Previous post Cuba rasuah polis RM60,000: Lelaki direman enam hari
Next post 11 ‘scammer’ dicekup
Ubah saiz-+=