Dr Adham sedia beri kerjasama kepada SPRM siasat isu perolehan COVID-19
SERDANG, 25 Mei – Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba sedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berikutan dakwaan berlaku isu rasuah dan penyelewengan berhubung perolehan berkaitan COVID-19.
Beliau yang memegang portfolio itu semasa negara sedang berhadapan dengan wabak itu mula melanda negara mengakui pernah menerima sendiri aduan mengenai perkara itu sekali gus menjelaskan perkara itu berlaku di peringkat pentadbiran.
Menurutnya sewaktu keadaan pandemik banyak proses pemerolehan tidak melalui prosedur biasa dan terdapat kekeliruan dalam melaksanakan perkara itu.
“Kita gunakan perolehan kecemasan jadi keperluan mendesak banyak benda yang dilakukan nak cepat ada yang terpaksa pesan dahulu dan ada juga yang perlukan deposit, ini semua tak melalui proses-proses seperti biasa, ada perkara-perkara yang saya sedar dan saya sebagai menteri pada ketika itu menasihati mereka.
“Saya sebagai menteri saya menjaga dasar dan pelaksanaan dilakukan oleh pihak pentadbiran, saya menyenaraikan semua keperluan pelaksanakan oleh mereka, saya bersedia untuk beri kerjasama kepada SPRM tidak ada keraguan kerana ini penggunaan kecemasan pertama kali,” katanya.
Dr Adham berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis pertukaran memorandum persefahaman (MoU) di antara National Instituteof Biotechnology Malaysia, Solution Biologics Sdn Bhd dan Cansino Biologics Inc (CanSino).
Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan terhadap perolehan berkaitan COVID-19 melibatkan rasuah dan penyelewengan selain turut melihat kepada penyalahgunaan kuasa.
Berkenaan majlis itu, Dr Adham yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berkata MoU yang telah ditandatangani oleh tiga pihak itu bertujuan memupuk kerjasama jangka panjang dalam pembangunan, penyelidikan dan pengkomersialan vaksin manusia.
“MoU ini memberi tumpuan kepada program penyelidikan bersama pembangunan vaksin terpilih, pertukaran penyelidik dan pakar teknikal, pemindahan teknologi dan pengetahuan serta pengkomersialan produk vaksin untuk pasaran Malaysia dan antarabangsa.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.