Sorting by

×

Dos vaksin COVID-19 tidak akan dibazirkan

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Vaksin COVID-19 tidak akan dibazirkan walau satu dos dan petugas terlibat akan memastikan perkara tersebut selepas program vaksinasi itu dimulakan hujung bulan ini, menurut laporan portal Berita Harian hari ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, berkata tindakan protokol akan diambil di tempat vaksinasi, iaitu membabitkan sukarelawan bagi memastikan setiap dos yang dikeluarkan daripada tempat penyimpanan itu digunakan sebaik-baiknya.

“Isu ‘wastage’ (pembaziran) ini saya sudah bincangkan dengan Dr Jemilah (Penasihat Khas Kesihatan Awam kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood). Jika ada 10 temu janji tetapi yang datang sembilan atau lapan sahaja, kita tidak boleh simpan semula (vaksin) dalam botol. Ia perlu digunakan.

“Kita sudah lihat pembaziran yang berlaku di negara lain dan kita sudah siapkan protokol yang akan diambil. Dos yang mereka tidak datang, kita akan beri kepada sukarelawan, sama ada polis, atau anggota RELA.

“Jika tiada, kita akan letak di media sosial untuk orang ramai ‘walk in’ sahaja. Inilah perkara yang dilakukan sesetengah negara,” katanya dalam pada perbincangan Clubhouse, malam tadi.

Turut bersama sebagai panel perbincangan itu ialah Dr Jemilah; Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Kalaiarasu M Peariasamy; Pakar Perubatan, Dr Giri Rajahram dan Ketua Pegawai Eksekutif Clinical Research Malaysia, Dr Akhmal Yusof.

Modetrator program ialah Ketua Pusat Paru-Paru Hospital Pantai, Dr Helmy Haja Mydin.

Terdahulu, Khairy berkata, pihaknya akan berusaha untuk memastikan pemberian vaksin COVID-19 akan melalui sistem yang menepati masa.

“Kita mahukan ia tidak disimpan lama dari pusat simpanan vaksin ke pusat pemberian vaksin. Kita mahu mencipta sistem logsitik yang menepati masa yang selari dengan permintaan dan bekalan,” katanya.

Mengulas persoalan mengenai pemilihan jenama vaksin oleh orang ramai, Khairy berkata, perkara itu tidak akan berlaku kerana akan menimbulkan kesulitan logistik.

“Orang ramai tidak diberi pilihan untuk memilih vaksin apa yang dikehendaki mereka. Ia hanya menyebabkan kekeliruan, bias dan serta diskriminasi terhadap vaksin-vaksin itu sendiri.

“Malah, dari segi praktikal juga ia boleh menimbulkan ‘mimpi ngeri’ dalam soal logistik. Apa yang akan berlaku sekiranya vaksin yang banyak dipilih akan habis cepat,” katanya yang memberitahu setiap vaksin yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

407
Kongsi :
Previous post Better Brighter Anjung Kasih YKN Hospital Melaka mula beroperasi hari ini
Next post Calon SPM sedia hadapi peperiksaan ‘norma baharu’
Ubah saiz-+=