Dokumentari Hang Tuah sebagai tokoh diplomat akan diterbitkan

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER KEROH 24 Jun – Usaha untuk mengangkat dan memartabatkan Hikayat Hang Tuah diteruskan apabila ada pihak tampil untuk merealisasikan hikayat terbabit dalam bentuk dokumentari sebagai tokoh diplomat yang hebat.

Penasihat Utama Projek Dokumentari Hang Tuah, Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, pihaknya kini di peringkat pengumpulan bahan dan sumber berkaitan Laksamana Hang Tuah.

Katanya, penggambaran dokumentari itu akan dilakukan di sekitar Melaka dan luar negara berdasarkan fakta sahih menerusi pengumpulan bahan dan sumber yang terbaharu.

“Kita akan bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka termasuk Kumpulan Pengkaji Hang Tuah untuk merealisasikan dokumentari ini.

“Tumpuan dokumentari ini nanti lebih kepada kemunculan empayar Melaka dan Laksamana Hang Tuah belayar ke seluruh dunia dan plot projek (dokumentari) ini juga berdasarkan sumber-sumber baharu untuk kita ketengahkan kehebatan Hang Tuah sebagai tokoh diplomat yang gah suatu masa dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pameran Hang Tuah bersama pelakon Fattah Amin di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL) merangkap Ketua Penyelidik Kajian Memperkukuh Kewujudan Hang Tuah, Prof. Datuk Dr. Mohd Taib Dora.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata pihaknya bercadang untuk pelakon, Fattah Amin membawakan watak Hang Tuah dalam projek dokumentari terbabit.

Jelasnya, objektif dokumentari itu adalah untuk mengetengahkan sejarah-sejarah yang telah diluruskan ini di mata dunia selepas ia ditenggelamkan oleh penjajah seolah-olah Melayu tidak mempunyai tokoh hebat.

“Sejarah perlu dibuktikan berdasarkan bukti dan bukti-bukti baharu menerusi Pameran Hang Tuah ini akan diguna pakai dalam dokumentari untuk kita memaparkan tokoh hebat kita.

“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang memberi sokongan atas usaha kami ini,” jelasnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

104
Kongsi :
Previous post 1 DUN, 3 Komuniti MADANI di Melaka
Next post Pameran Hang Tuah berjaya tarik lebih 10,000 pengunjung
Ubah saiz-+=