Doktor swasta rugi lebih 700,000 ditipu macau scam
TAWAU, 1 Apr – Seorang doktor swasta di sini mengalami kerugian RM747,000 selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai wakil sebuah kementerian dan pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Tawau ACP Jasmin Hussin berkata lelaki berusia 30 tahun itu mendakwa menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 27 Jan menyatakan namanya digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.
“Berdasarkan keterangan, mangsa pada mulanya sangsi dengan panggilan telefon berkenaan, namun sindiket terbabit turut menyamar sebagai anggota polis.
“Polis palsu ini kemudian meyakinkan kononnya mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram, selain kegiatan penyeludupan dadah dan selepas itu meminta mangsa memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian bagi tujuan semakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata akibat terpedaya dengan helah sindiket itu mangsa kemudian membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada beberapa akaun milik penyamar antara Febuari hingga awal Mac lepas.
“Mangsa yang menyedari dirinya tertipu kemudiannya membuat laporan polis pada 18 Mac dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Jasmin dalam pada itu menyarankan orang ramai memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ untuk memudahkan semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan kewangan.
“Dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi kerajaan lain dalam satu panggilan sama,” tegasnya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.