Doktor swasta jangan buat pembelian panik ubat-ubatan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SUNGAI RAMBAI 13 Ogos – Semua doktor swasta di negeri ini diminta untuk tidak membeli ubat secara pembelian panik (panic buying) daripada pembekal ubat-ubatan berdaftar.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rusdi Abd Rahman berkata, ia kerana hal itu dikhuatiri menjadi antara punca ubat-ubatan di farmasi kekurangan bekalan seperti yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Kita minta supaya doktor-doktor swasta jangan ‘panic buying’, jangan beli dengan kuantiti terlampau banyak ubat-ubatan ini.

“Kita dapati doktor-doktor swasta ini membuat tempahan di banyak tempat (kilang pembekal ubat yang berdaftar di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia), misalnya ubat jenis panadol atau paracetamol, mereka ini akan tempah di banyak kilang tapi apabila sudah dapat (ubat) tempahan di kilang yang lain semua akan dibatalkan.

“Tidak boleh berbuat sedemikian kerana ia akan menyebabkan kilang-kilang pula panik dengan tempahan yang banyak dan proses untuk menghantar ubat-ubatan mengikut pesanan di negeri-negeri jadi terbantut dan berkurangan bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pelancaran program Pharmacy Integrated Community Care (PICC) di Pusat Komuniti Desa Sungai Rambau, hari ini.

DR Rusdi

Mengulas lanjut, Dr Rusdi berkata bagi mengatasi isu kekurangan bekalan ubat, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah berbincang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk meningkatkan kadar kemasukan gula ke kilang-kilang pembekal ubat-ubatan.

Ujarnya, langkah pendekatan itu telah diambil dan isu bekalan ubat yang kurang seperti panadol, ubat batuk dan ubat selsema di negeri ini dapat diatasi tidak lama lagi.

“Kita sudah mngambil langkah pendekatan dan kita juga sudah maklum kepada KPDNHEP untuk membenarkan kilang-kilang ini import gula.

“Stok gula ini penting kerana ia merupakan ramuan dalam sirap ubat batuk, ubat selsema dan stok gula juga sudah dibenarkan pihak KPDNHEP untuk ditingkatkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1589
Kongsi :
Previous post Perkukuh perpaduan demi kesejahteraan – KM
Next post Kes Influenza A di Melaka tunjuk trend penurunan
Ubah saiz-+=