Doktor Malaysia di Gaziantep, Turkiye kongsi pengalaman hadapai gempa bumi
KUALA LUMPUR, 7 Februari – “Ramai mangsa yang datang ke hospital selepas dibawa keluar daripada timbunan bangunan dalam keadaan patah kaki, ada yang mengalami pendarahan otak dan ada juga yang sampai dalam keadaan tidak bernyawa.”
Itu situasi yang diceritakan seorang doktor warga Malaysia Syazwan Abu Bakar yang bertugas di sebuah hospital di bandar Gaziantep, antara kawasan paling teruk terjejas akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang melanda selatan Turkiye awal pagi Isnin.
Doktor am berkenaan memberitahu Bernama bahawa beliau dan petugas lain terpaksa berlari keluar dari hospital untuk menyelamatkan diri setiap kali gempa susulan berlaku yang turut menyebabkan bangunan berkenaan mengalami keretakan.
“Ketika gempa pertama berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi saya on-call dan sedang berehat. Saya lari keluar dan kemudian saya naik semula untuk tengok pesakit.
“Ketika gempa kedua berlaku pada tengah hari saya lari keluar bangunan sekali lagi dan selepas itu bertugas di unit kecemasan,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin malam (waktu Malaysia).
Dr Syazwan, 34, berkata beliau mengenali lima lagi rakyat Malaysia yang menetap di Gaziantep dengan dua daripada mereka turut bertugas sebagai doktor.
Beliau bagaimanapun tidak mengetahui mengenai keadaan mereka berikutan kesibukan merawat mangsa gempa bumi yang cedera.
“Pagi tadi (Isnin) ada orang kedutaan telefon saya tetapi ketika itu saya agak sibuk, saya cuma beri nombor telefon dua lagi rakyat Malaysia di sini,” katanya.
Dr Syazwan yang tinggal seorang diri di Gaziantep berkata beliau tidak dapat pulang ke rumah berikutan bangunan berkenaan juga mengalami keretakan dan berkemungkinan akan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Keluarganya pula menetap di daerah lain sejauh tiga jam perjalanan dari Gaziantep.
“Rumah keluarga saya di sana juga retak jadi mereka akan berpindah ke kawasan di sebelah barat yang lebih selamat,” katanya.
Sekurang-kurangnya 2,379 orang terbunuh dan 14,483 lagi cedera selepas gempa bumi kuat menggegarkan selatan Turkiye pada awal pagi Isnin.
Gempa bumi berukuran 7.8 magnitud yang berpusat di daerah Pazarcik itu menggegarkan wilayah Kahramanmaras dan menjejaskan beberapa wilayah lain, termasuk Gaziantep, Sanliurfa, Diyarbakir, Adana, Adıyaman, Malatya, Osmaniye, Hatay, dan Kilis.
Ia diikuti dengan gempa bumi bermagnitud 7.6 pada 13.24 tengah hari yang turut berpusat di Kahramanmaras.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.