
Dodol cair istimewa Pantai Kundor
PANTAI KUNDOR 27 Mei – Dodol cair antara tarikan utama di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Dewan Petanque Hang Jebat, di sini malam ini.
Lebih istimewa dodol tersebut turut dikacau oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.
Terdahulu Tun Mohd Ali bersama isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman tiba di majlis tersebut pada jam 9.40 malam.
Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali bersama isteri Datin Seri Utama Munira M Yusop.
Majlis itu turut dimeriahkan dengan kehadiran EXCO Kanan Pelaburan dan Perindustrian negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh , Ahli Dewan Negara Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan lain- lain kenamaan.
Rumah terbuka itu merupakan anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor Tuminah Kadi.
Kira-kira 5,000 pengunjung terdiri daripada pelbagai lapisan kaum hadir memeriahkan rumah terbuka itu.
Pelbagai juadah disediakan antaranya nasi lemak, mi kari, lemang, ketupat, nasi goreng, air balang dan lain-lain.
Turut diadakan persembahan nyanyian dan pertunjukkan bunga api.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.