‘Doc Malan’ bekas pemain ragbi kebangsaan meninggal dunia
KUALA LUMPUR 7 Mac. – Bekas pemain ragbi kebangsaan, Profesor Madya Dr. Mazlan Ismail, 39, dilaporkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 12.58 tengah malam tadi selepas dua bulan terlantar akibat penyakit angin ahmar.
Allahyarham yang lebih dikenali ‘Doc Malan’ kalangan komuniti ragbi, sebelum ini dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Damansara pada 7 Januari lalu akibat serangan angin ahmar ketika berada di rumahnya di Taman Tun Dr Ismail, dekat sini.
Difahamkan, arwah kemudiannya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum dirujuk ke PPUM minggu lalu.
Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dalam kenyataan pagi ini menyatakan pemergian arwah adalah kehilangan besar kepada akademik dan sukan ragbi negara.
“KRM ingin merakamkan salam penuh takziah atas pemergian bekas pemain ragbi kebangsaan, Allahyarham Dr. Mazlan yang telah menghembuskan nafas terakhirnya lewat malam tadi.
“Sesungguhnya kita telah kehilangan sebutir permata berharga dalam dunia akademik dan sukan ragbi negara.
“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dilapangkan kuburnya serta di tempat bersama hamba-NYA yang bertaqwa di syuhada. Al-Fatihah,” katanya.
Sementara itu, Presiden KRM Datuk Shahrul Zaman Yahya turut bersedih serta menyifatkan arwah bekas pemain negara yang gagah dan perkasa di padang.
“Seorang lagi rakan sepejuangan gugur di perbatasan. Aksinya di padang berjuang untuk negara begitu gagah dan perkasa.
“Payah untuk menerima hakikat apa yang berlaku ke atas dirinya dan dia telah pergi.
“Namun itulah kekuasaan dan qada dan qadar Allah. Kepada isterinya puan Azlina…saya kagum dengan semangat puan menjaganya. Semoga kita semua reda dengan pemergiannya…,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Jenazahnya dibawa keluar dari PPUM jam 9.40 pagi tadi selepas proses bedah siasat dan dijangka dikebumikan selepas Asar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Hidayah, Tekkah, Taiping, Perak hari ini.
Media sebelum ini melaporkan pembedahan ke atas Mazlan berjaya, namun beliau terus berada di wad ICU pusat perubatan swasta terbabit sebelum dipindahkan ke HKL atas faktor kos tinggi.
Isterinya, Azlina Ariff dipetik berkata keadaan suaminya ada menunjukkan sedikit perubahan positif, namun perkembangannya masih perlahan.
Portal ragbi.my melaporkan Mazlan adalah Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Beliau pernah menyarung jersi negara di Sukan Komanwel Manchester 2002, Sukan Asia Busan 2002, skuad 15’s Bunga Raya serta pasukan Lions dan Cobra selain beraksi di World Barbarian Sevens di Papua New Guinea.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.