DMWorld sasar nilai jualan RM3 juta tahun ini

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 17 Januari – DMWorld menerusi rangkaian perusahaan DMMart dan DMFresh bakal menyasarkan jualan sehingga RM3 juta pada tahun ini.

Pengerusi Biro Ekonomi Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), Datin Seri Azreen Abu Noh berkata DMWorld merupakan platform kepada usahawan tempatan memasarkan produk ke pasaran dalam dan luar negeri.

Katanya, setakat ini, seramai 50 usahawan tempatan yang telah berdaftar, namun hanya 13 usahawan yang produk mereka telah bersedia untuk dipasarkan ke peringkat domestik dan antarabangsa.

“DMMart ini adalah kedai serbanika di mana hampir kesemua produk usahawan tempatan di bawah DMDI diletakkan di DMMart untuk pasaran tempatan.

“Manakala DMFresh yang akan diperkenalkan dalam bulan hadapan adalah seperti pasar segar memasarkan produk-produk dari ladang, sayur-sayuran dan produk tenusu oleh usahawan ladang yang berdaftar di bawah DMDI.

“Untuk produk usahawan yang ‘ready to export’ pula ada sebanyak 13 usahawan daripada 50 usahawan, maknanya ia mengambil kira dari segi pembungkusan, berat produk, kualiti, ‘certification’ (pensijilan) serta pelbagai lagi dan kita akan bantu untuk eksport produk-produk ini ke 23 negara keanggotaan DMDI,” katanya.

photo_2023-01-17_18-40-18
Pengerusi Biro Ekonomi DMDI, Datin Seri Azreen Abu Noh berucap pada Program dan Pengenalan Produk Usahawan DMWorld di DM Mart Bukit Beruang, Melaka. Foto: MR. AZLI

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Program dan Pengenalan Produk Usahawan DMWorld di DMMart Bukit Beruang hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut, Azreen berkata, program di bawah Biro Ekonomi DMDI itu sememangnya adalah untuk pembangunan usahawan tempatan.

Beliau turut menggesa kepada usahawan tempatan yang masih buntu untuk pasaran produk dialu-alukan untuk mendaftar dengan DMDI, dan pihaknya akan membantu untuk mencari pasaran yang sesuai.

“Kita juga saran kepada usahawan tempatan yang masih tidak tahu ke mana medan untuk pasarkan produk, berdaftar dengan DMDI, kita ada rangkaian untuk eksport produk ke luar negara sehingga 23 buah negara di bawah DMDI.

“Antara negara keanggotaan DMDI adalah di Singapura, Brunei,Indonesia,Thailand, Kemboja,Timor Leste, China, Sri Lanka, Australia, Bosnia Herzegovina, United Kingdom dan beberapa lagi negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1694
Kongsi :
Previous post Masyarakat Tionghua gembira terima sumbangan raya
Next post Bagasi berisi bahagian badan manusia ditemukan di tepi lebuh raya PLUS
Ubah saiz-+=