Ditahan ambil dadah ketika jaga emak sakit

Masa Membaca:2 Minit, 11 Saat

MASJID TANAH 24 Nov – Seorang penganggur terpaksa melutut merayu dibebaskan atas kesalahan mengambil dadah dengan alasan perlu menukar lampin ibunya yang terlantar sakit di rumahnya di Paya Rumput, Masjid Tanah di sini malam tadi.

‘Drama’ berkenaan disaksikan selama hampir 10 minit apabila bapa seorang anak itu memberi pelbagai alasan kepada sepasukan penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang membuat serbuan untuk dilepaskan.

“Tolonglah abang, jangan tangkap saya nanti tiada siapa nak jaga emak saya dan tukar lampinnya,” katanya hampir menangis sambil melutut dilepaskan.

Bagaimanapun, pasukan AADK terpaksa meminta lelaki berusia 37 tahun itu patuh kepada undang-undang dan membawanya ke pejabat Alor Gajah untuk menjalani saringan air kencing selepas dia mengaku baru mengambil dadah jenis morfin.

ANTARA individu yang ditangkap di kediaman masing-masing selepas didapati positif dadah dalam Ops Perdana dijalankan yang dijalankan AADK berakhir jam 1 pagi tadi.

Lelaki terbabit yang turut mengidap penyakit tibi mengaku mengambil dadah jenis morfin dan pernah menjalani hukuman penjara selama sembilan tahun selain kerap dihantar ke pusat pemulihan sebelum ini atas kesalahan sama.

Bapa kepada seorang anak itu adalah antara 11 individu ditangkap di kediaman masing-masing selepas didapati positif dadah dalam Ops Perdana dijalankan yang dijalankan AADK berakhir jam 1 pagi tadi.

Sementara itu, dalam tangkapan berasingan seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun menangis teresak-esak melihat bapanya berusia 30-an ditahan penguatkuasa AADK.

Ketika ditahan, hanya dua beranak itu berada di rumah manakala ibunya keluar bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran di Alor Gajah.

PENGARAH AADK Melaka, Nazir Mohamad

Pengarah AADK Melaka, Nazir Mohamad pada sidang media kemudian berkata, situasi menyayat hati itu adalah perkara biasa yang perlu dihadapi penguatkuasa ketika menjalankan tugas membanteras penagihan dadah di negeri ini.

“Ini semua adalah alasan yang kita sudah lali mendengarnya dan perlu bertindak profesional mengawal situasi supaya tidak menyusahkan mana-mana pihak.

“Dalam kes penahanan orang yang disyaki, pegawai AADK yang membuat serbuan akan memastikan ahli keluarga yang lain dimaklumkan mengenai penahanan itu,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah AADK Melaka, A Reuben.

Tambah Nazir, dalam Ops Perdana yang dijalankan selama empat hari bermula 20 dan berakhir semalam, pihaknya telah menahan 86 individu dengan 83 daripadanya didapati positif dadah jenis syabu dan heroin.

“Manakala statistik sejak Januari lalu sehingga semalam, seramai 909 individu telah ditangkap berdasarkan aduan diterima daripada ahli keluarga sendiri dan jiran tetangga,” katanya.

Mengulas lanjut Nazir berkata, tangkapan turut membabitkan 16 penjawat awam, manakala selebihnya kebanyakannya adalah penganggur berusia 41 ke atas.

Katanya, kesemua yang ditahan akan dikenakan tindakan lanjut mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Views:

1095
Kongsi :
Previous post KKM kenal pasti empat kluster baharu, tiga lagi diisytihar tamat
Next post Perkembangan semasa banjir daerah Alor Gajah setakat jam lapan pagi
Ubah saiz-+=