Sorting by

×

Diskriminasi Sri Lanka tak jejas industri sawit negara

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

BANDARAYA MELAKA 6 April. – Diskriminasi eksport sawit Malaysia ke Sri Lanka tidak menjejaskan komoditi pasaran itu di negara ini disebabkan sambutannya semakin meningkat di negara lain termasuk Afrika dan Timur Tengah.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, malah industri komoditi utama negara itu juga menerima permintaan tinggi seperti di Filipina dan Vietnam membuktikan industri sawit negara ini berjaya dihasilkan dengan berkualiti sehingga diperluaskan ke peringkat global.

Menurutnya, pihaknya yakin bahawa keberhasilan sawit di negara ini antara produk yang bermutu tinggi sehinggakan menerima beberapa pensijilan dan mampu untuk menampung keperluan dunia.

“Kita yakin minyak kita diterima dunia dan ramai lagi yang berminat dengan sawit yang dihasilkan di Malaysia dan apa yang penting kita akan pastikan bekalan yang dihasilkan ini bermutu dan berkualiti untuk kita bekalkan kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Lembaga Koko Malaysia diadakan di Hotel LaCrista, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis dan Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM) Dr. Aliakbar Gulasan.

Mohd Khairuddin berkata, Sri Lanka perlu mendapatkan maklumat lanjut berkaitan industri di negara ini dan usaha dilaksanakan kerajaan.

Katanya, diskriminasi itu membuatkan sekatan telah dibentuk bagi keberhasilan pengeluaran sawit negara, sedangkan industri itu menerima pensijilan kualiti terbaik dan penarafan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Malah Yayasan Konservasi Hijau Sawit Malaysia (MPOGCF) turut ditubuhkan sebagai langkah konservasi bagi memutuskan kempen anti minyak sawit.

“Isu lain yang ditimbulkan adalah aktiviti penerbangan hutan yang didakwa dijalankan di negara ini, sedangkan kita mempunyai rizab hutan yang besar dan MPOGCF yang ditubuhkan itu juga semata-mata untuk menggalakkan aspek kehijauan dan kelestarian, jadi kita tidak wajar dianaktirikan,” tegasnya.

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Sri Lanka melarang dan menyekat import minyak sawit dari Malaysia dan Indonesia ke negara itu yang sebelum ini sering mengimport bekalan itu, hampir 200,000 tan minyak sawit setiap tahun.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

401
Kongsi :
Previous post Reka bentuk hospital masa hadapan perlu disesuaikan dengan norma baharu
Next post Sulaiman terima pangkat Brigedier Jeneral Kehormat
Ubah saiz-+=