DISKAUN UNTUK PINJAMAN TAPEM
SERI NEGERI 27 Disember – Diskaun sehingga 30 peratus diberikan kepada para peminjam Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) bermula Januari hingga April 2025.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Rauf Yusoh berkata tawaran itu adalah sebagai tanda prihatin Kerajaan Negeri yang sentiasa cakna dengan sektor pendidikan rakyat di negeri ini.
“Kerajaan Negeri menawarkan diskaun 30 peratus bagi peminjam yang membuat penyelesaian penuh pinjaman bermula Januari sehingga April 2025. Sementara itu diskaun sebanyak 15 peratus diberikan kepada peminjam yang membuat bayaran minimum 50 peratus daripada baki pinjaman bermula Januari sehingga April 2025.
“Selain itu peminjam turut diberikan hadiah cabutan bertuah untuk bayaran balik yang konsisten sepanjang tahun 2025,” katanya dalam Ucapan Bajet 2025 Negeri Melaka sempena Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Seri Negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu Ab Rauf turut menasihatkan kepada para peminjam supaya membuat bayaran balik pinjaman bagi mengelakkan tindakan sekatan untuk ke luar negara.
“Sejak TAPEM ditubuhkan pada tahun 2000, seramai 15,977 anak watan Melaka telah menerima manfaat melalui pinjaman keseluruhan berjumlah RM223 juta.
“Namun, di sebalik keprihatinan dan manfaat diterima hanya 63 peratus yang membuat bayaran balik, manakala sebanyak RM40.1 juta melibatkan 5,381 peminjam mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman bagi tempoh enam hingga 120 bulan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.