
DISKAUN TOL 50 PERATUS SEMPENA AIDILFITRI – ALEXANDER
AYER KEROH 26 Mac – Kerajaan bersetuju memberikan potongan tol sebanyak 50 peratus sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 bagi meringankan beban rakyat yang pulang ke kampung halaman.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, keputusan itu ditetapkan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM19.69 juta yang ditanggung kerajaan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya bagi pelaksanaan inisiatif ini.
Katanya, diskaun tol ini akan bermula 28 Mac 2025 (Jumaat) pada jam 12.01 tengah malam dan berakhir pada 29 Mac 2025 (Sabtu) jam 11.59 malam.
“Potongan 50 peratus ini sama seperti dilaksanakan pada Tahun Baharu Cina, iaitu pengguna jalan raya membayar separuh daripada kadar tol biasa.
“Ia hanya terpakai kepada kenderaan Kelas 1 di semua plaza tol kecuali di plaza tol sempadan negara, iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan Tinjauan Kerja YB Menteri Kerja Raya Ke Syarikat Konsesi Penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Pejabat Operasi Selia Selenggara Selatan Sdn. Bhd di Taman Tasik Utama, di sini.
Alexander berkata, pemberian diskaun itu adalah kesinambungan daripada bantuan tol musim perayaan yang telah diberikan pada keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung Malaysia sejak 2023.
“Ia sejajar dengan teras utama Kerajaan MADANI dalam memastikan kesejahteraan rakyat serta membantu meringankan kos sara hidup,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh cuti perayaan.
“Pengguna boleh merujuk jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang dikeluarkan oleh syarikat konsesi lebuh raya untuk perjalanan yang lebih lancar.
“Selain itu, pengguna disarankan memastikan kenderaan dalam keadaan baik, baki eWallet dan Kad Touch & Go mencukupi, serta memantau keadaan trafik melalui pautan CCTV Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di https://www.llm.gov.my atau menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.