Sorting by

×

Diskaun saman: Polis Melaka terima kutipan lebih RM2.5 juta

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 13 Dis – Polis Melaka berjaya mengutip lebih RM2.5 juta dengan sebanyak 40,540 keping saman yang diselesaikan orang awam dari tempoh 9 Dis hingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Melaka Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, tawaran pengurangan kompaun saman sehingga 80 peratus itu bersempena 100 hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Katanya, mengikut pecahan, saman yang dibayar adalah dari jenis POL 170A dengan sebanyak 32,043 keping saman dan POL 257 sebanyak 8,497 keping saman.

“Pembayaran saman-saman terbabit telah dibuat di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Melaka, Kiosk di UTC dan mana-mana kaunter saman trafik mengikut Daerah termasuk di Daerah Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah, di mana pembayaran secara tunai dan kad kredit diterima.

“Melaka Tengah mencatatkan kutipan tertinggi iaitu RM885,590 dengan 12,430 keping saman, diikuti Jasin RM573,760 (11,572 keping saman) dan Alor Gajah 7,236 keping saman.

“Selain itu, sebanyak 5,939 keping saman dibayar di IPK Melaka dengan kutipan RM581,320 dan di Kiosk UTC sebanyak 3,363 keping saman di bayar dengan kutipan RM337,440,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Hasan Basri berkata, di atas permintaan rakyat Malaysia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah bersetuju memanjangkan tempoh pembayaran pengurangan saman sehingga 31 Dis ini.

“Bayaran pengurangan kompaun saman selain boleh dilakukan di kaunter trafik, ia juga boleh dilakukan menerusi aplikasi MyBayarSaman, mesin ATM Maybank dan di Pejabat POS Malaysia.

“Polis turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil kesempatan yang ada ini untuk menjelaskan saman tertunggak dengan kadar segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2105
Kongsi :
Previous post Hasrat pindah rumah baharu tidak kesampaian
Next post 15 penjual, pembeli jeruk mangga di lampu isyarat kena saman
Ubah saiz-+=