Diskaun hingga 55 peratus untuk pelancong ke Melaka – KM
KOTA LAKSAMANA 1 Januari – Kerajaan Negeri menawarkan potongan harga sehingga 55 peratus kepada pelancong yang datang ke negeri ini di 28 lokasi tarikan pelancongan bermula 1 Januari 2024.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif itu diperkenalkan menerusi Kupon Diskaun Tahun Melawat Melaka 2024 yang dilaksanakan sehingga 31 Disember 2024.
“Sempena menyambut kemeriahan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) juga, Kerajaan Negeri telah mewajahkan Melaka dengan produk-produk pelancongan terbaharu seperti Melaka River Floating Market, Eco Cruise Sungai Linggi dan Melaka Car Free Zone atau Zon Bebas Kenderaan.
“Inisiatif ini secara tidak langsung dapat memberikan lebih banyak pilihan destinasi pelancongan kepada para pelancong ke Negeri Melaka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) & Ambang Tahun Baharu 2024 di Dataran Pengkalan Rama di sini, malam ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Mohd Ali Rustam dan isteri Toh Puan Datuk Wira Asmah Ab Rahman.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Ketua Menteri Melaka Ke-12, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.
Turut hadir, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan barisan Exco serta Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.