Disangka bau najis binatang rupanya…
PAYA RUMPUT 7 Nov. – Setahun yang lalu, semuanya indah buat Noorazila Adzhar, 33 selepas dia menginap di Taman Krubong Jaya Fasa 3.
Namun, sejak baru-baru ini, terutamanya bulan lepas, bau busuk yang berselang-seli dengan asap hasil pembakaran didakwa berpunca dari aktiviti pertanian menghantui dirinya dan lebih 800 penduduk sekitar kawasan terbabit.
Noorazila pada mulanya menyangka masalah itu berpunca dari najis binatang, namun sangkaannya meleset, apabila mendengar permasalahan sama diluahkan jiran berhampiran.
“Saya sangka bau itu merupakan najis binatang di hadapan rumah, rupanya satu kawasan perumahan di sini terpaksa menanggung bau busuk berpunca daripada aktiviti pertanian.
“Dalam setahun awal selepas saya menetap di sini memang tiada gangguan bau. Kejadian yang berlaku ini pada awalnya dicemari dengan bau hasil kepulan asap, namun kini bau najis pula mengganggu.
“Aduan telah diajukan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) berhubung asap pembakaran itu, namun baru-baru ini ia kembali menganggu penduduk dan keadaannya semakin membarah, terutamanya waktu petang dan ketika cuaca panas,”dakwanya.
Seorang penduduk, Noorazura Durani, 36, pula mengambil pendekatan ‘berkurung’ di dalam rumah, bagi meminimakan pencemaran udara di kawasan berkenaan.
Katanya, dia lebih rela ‘terperap’ dengan menutup jendela dan pintu rumah bagi mengurangkan bau busuk tersebut yang masih boleh dihidu walaupun pelbagai langkah telah diambil.
Namun katanya, tindakan undang-undang tetap perlu diambil, kerana risaukan akan keselamatan dirinya, apabila mendapati kepulan asap berwarna kuning turut dilihat yang didakwa berpunca dari pembakaran sumber berbahaya.
“Kebiasaannya, mereka akan membakar sampah dalam waktu petang dan keadaan kepulan asap terbabit dilihat berwarna kuning membimbangkan penduduk yang mengesyaki ia pembakaran dari sumber berbahaya.
“Sepatutnya bila kita berada di rumah untuk menenangkan perasaan tapi kini kita tak selesa dan terkesan apabila diganggu bau busuk ini,” katanya.
Pada masa sama, seorang penduduk, Taufik Kadir, 33, berharap tindakan segera perlu dilaksanakan oleh setiap pihak berwajib di negeri ini bagi memantau keadaan yang berlaku dalam kawasan berkenaan.
Katanya, perkara terbabit perlu dilaksanakan segera agar tindakan dikenakan ke atas individu terlibat dalam premis terbabit bagi memastikan keselamatan dan kesihatan penduduk terjamin.
“Kita harap setiap agensi terlibat termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan lanjut berhubung perkara ini kerana kita khuatir dengan apa yang berlaku dengan aktiviti pertanian terbabit.
“Asap yang dibakar daripada aktiviti pertanian juga membimbangkan kerana kita tak tahu apa kandungannya sehinggakan berwarna kuning dan mengeluarkan bau busuk, jadi tindakan segera perlu diambil untuk selesaikan dilema kami ini,” katanya
Tinjauan mendapati, aktiviti pertanian yang dijalankan di kawasan perumahan itu berada bersebelahan parit dengan jarak hampir 50 meter dari perumahan berkenaan.
Apa yang mengejutkan, kegiatan pembakaran tersebut juga ditutup dengan penghadang zink dipercayai untuk mengaburi dari dijejaki pihak berkuasa.