Diplomasi kesihatan lebih berkesan mampu tangani peningkatan ancaman kesihatan global- Ismail Sabri

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

KUALA LUMPUR 26 Sept – Masyarakat dunia mesti bersatu sebagai satu keluarga dan mengukuhkan diplomasi kesihatan yang lebih berkesan terutama ketika semakin banyak ancaman kesihatan global termasuk pandemik COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, demikian dalam ucapan sulungnya pada Debat Umum sesi ke-76 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York, menerusi rakaman video. Teks ucapannya dikeluarkan Wisma Putra hari ini.

“Misi bersama kita sewaktu berdepan dengan tempoh tidak pernah berlaku sebelum ini, memaksa kita mengiktiraf bahawa seluruh masyarakat dunia adalah satu keluarga besar. Kita memastikan kerjasama lebih utuh bukan sahaja bagi menamatkan pandemik ini, tetapi pelbagai isu berkaitan kesihatan yang lain.

“Atas semangat itu juga, kami di Malaysia, menganggap diri kami sebagai ‘Keluarga Malaysia’,” katanya.

Ismail Sabri berkata, Malaysia amat komited dalam mengurus, menangani dan melaksanakan usaha untuk pulih daripada pandemik COVID-19.

“Kita akan memastikan Malaysia tidak hanya mampu kembali bangkit, malah lebih berjaya ketika dunia bergelut untuk keluar daripada kemelut pandemik ini,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan, di sebalik komitmen bersama, dengan pengeluaran vaksin secara agresif serta dengan perkongsian dan penerimaan amalan baik, malangnya realiti sebenar hari ini adalah dunia masih jauh daripada beroleh kemenangan dalam peperangan melawan COVID-19.

Ketika kebanyakan negara pengeluar vaksin serta negara yang mempunyai kemampuan kewangan sudah pun sedikit sebanyak mencapai kejayaan, majoriti populasi dunia, terutama negara pendapatan sederhana dan kurang membangun, masih belum mendapat vaksin.

Bagaimanapun, tumpuan tidak seharusnya ke atas vaksin sahaja kerana banyak aspek lain yang perlu turut diberikan perhatian.

Ismail Sabri berkata, kesihatan umum seharusnya dianggap sebagai barangan awam global berbanding domain eksklusif negara tertentu.

Oleh itu, Malaysia akan meningkatkan peranan utama dan lebih aktif menyertai diplomasi kesihatan dengan pendekatan meluas pelbagai disiplin, membabitkan lebih banyak pemegang taruh yang berkaitan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post PBB perlukan pembaharuan, tingkat keberkesanan- Ismail Sabri
Next post PBB perlu senada tamatkan keganasan dunia
Ubah saiz-+=