Dijemput ajal sebelum habis kerja
JASIN 9 Feb – Seorang lelaki maut 30 minit sebelum tamat waktu bekerja selepas dia dihempap timbunan kotak mengandungi kaca dianggarkan seberat 5.6 tan dalam kejadian di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Lipat Kajang, di sini, jam 7.30 pagi tadi.
Operator kilang berusia 23 tahun berasal dari Tangkak, Johor itu sepatutnya habis waktu bekerja pada jam 8 pagi namun ditimpa kemalangan meragut nyawanya.
Ketua Polis Daerah Jasin Deputi Superintendan Mispani Hamdan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian di tempat kerja itu.
“Siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa sedang melakukan kerja mengikat kotak dalam kontena terlanggar kayu penahan menyebabkan kaca seberat 5.6 tan menghempapnya.
“Pada pandangan mata kasar mangsa mungkin patah kedua-dua belah kaki dan leher. Mungkin juga ada kecederaan lain seperti pendarahan akibat terkena sepihan kaca,” katanya.
Mispani berkata, bapa mangsa turut hadir bagi membuat pengecaman mayat yang dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi tujuan bedah siasat.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), kami juga sedang menunggu laporan forensik untuk mengetahui punca sebenar kematian mangsa,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari, Penolong Penguasa Bomba Rahizam Ruzali berkata, 12 pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi bagi membantu kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kontena.
“Kami mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengalihkan timbunan kaca, operasi dijalankan dengan berhati-hati bagi mengelakkan serpihan kaca terkena badan mangsa dan menyebabkan kecederaan lebih serius,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.