Digital Creator Masterclass MHI berbaloi, penuh ilmu bermanfaat
AYER KEROH 28 Julai – Kursus Digital Creator Masterclass anjuran Melaka Hari Ini (MHI) Sdn Bhd disifatkan sebagai platform terbaik untuk mempelajari kemahiran baharu sebagai pencipta kandungan.
Rata-rata peserta menyifatkan pengisian kursus selama sehari itu memberi ilmu yang cukup bermanfaat dalam dunia teknologi masa kini.
Seorang peserta, Mohd Hamirul Ab Hamid, 39, berkata, kursus berkenaan amat berbaloi kerana dapat mempelajari empat ilmu dalam satu masa iaitu fotografi, videografi, reka grafik dan komunikasi berkesan.
Menurutnya, ilmu yang diterima daripada tenaga pengajar berpengalaman itu amat bermakna kerana boleh diterapkan dalam tugas hakikinya di Unit Komunikasi Korporat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka.
“Saya paling tertarik dengan kelas reka grafik kerana daripada kelas tersebut, saya mendapat tunjuk ajar dalam penghasilan poster agar jadi lebih menarik.
“Saya berharap, kursus ini dapat diperluaskan kepada penjawat awam lain di Negeri Melaka, khususnya mereka yang berkhidmat dalam Unit Komunikasi Korporat kerana banyak ilmu bermanfaat dapat dipelajari,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas kursus berkenaan.
Nada sama turut disuarakan, Nur Suriati Ngah, 39, yang menyifatkan dirinya cukup bertuah kerana terpilih menyertai kursus berkenaan oleh majikannya.
Dia yang merupakan seorang jurujual Proton di Bukit Katil berkata, kesemua kelas yang disertai dapat meningkatkan lagi kemahirannya dalam ilmu pemasaran digital terutama dalam menarik perhatian pelanggan di platform media sosial.
“Kelas-kelas yang disertai amat bagus terutamanya penghasilan dan suntingan video kerana dari sini saya dapat mempelajari tip mudah suntingan video menggunakan aplikasi masa kini.
“Saya sangat menyambut baik untuk kursus ini dianjurkan lebih kerap dan jika boleh saya berharap MHI dapat menambah bilangan hari supaya lebih banyak ilmu dapat dipelajari,” ujarnya.
Seorang lagi peserta, Iman Nurhakim Khairuddin, 24, turut bersetuju kursus yang dianjurkan dapat memberi nilai tambah kepada kerjayanya sebagai seorang penasihat jualan.
Katanya, menerusi kursus tersebut, dia bukan hanya diajar tentang teknik penciptaa. kandungan digital, bahkan turut mendapat ilmu berharga dalam sudut komunikasi.
“Semua yang dipelajari amat membantu kerana rutin kerjaya saya memang perlu mempelajari ilmu-ilmu sebegini.
“Sudah tentu saya akan cadangkan kursus ini kepada rakan-rakan lain di luar sana kerana semua yang dipelajari di sini amat berharga,” katanya.
Sementara itu, seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat, Fylsha Zulkifli, 20, teruja dapat menambah ilmu pengetahuan dalam dunia pemasaran digital menerusi kelas-kelas yang disertainya.
Katanya, selain kemahiran penghasilan video dan komunikasi, dia amat tertarik dengan kelas fotografi yang memberi pendedahan serta teknik mengambil gambar dengan komposisi lebih menarik yang diajar pada kursus berkenaan.
“Alhamdulillah, selain ilmu saya juga menerima sijil yang amat membantu mencantikkan lagi resume saya selain membantu kerjaya pada masa akan datang.
“Saya berharap kursus ini dapat dipromosikan secara lebih meluas lagi selepas ini kerana sudah pasti ramai yang berminat mengikutinya, terutama bagi golongan pelajar dan penuntut di institusi pengajian tinggi,” katanya.
Terdahulu, kursus selama sehari yang dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman di Studio Melaka TV itu disertai seramai 20 peserta dalam pelbagai latar belakang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.