Sorting by

×

Didik generasi muda etika, tanggungjawab penggunaan teknologi

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Generasi muda perlu dididik tentang tanggungjawab dan etika dalam penggunaan teknologi bagi memastikan mereka tidak terpengaruh dengan maklumat palsu.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Saraswathy Kandasami berkata, meskipun digitalisasi adalah satu anugerah yang besar, namun pengguna khususnya perlu berhati-hati kerana ia boleh membawa kepada penyalahgunaan maklumat.

Katanya, ledakan teknologi mestilah diurus dengan bijak sebagai langkah mengekang penyalahgunaan maklumat.

“Generasi muda kita perlu dididik tentang tanggungjawab dan etika dalam penggunaan teknologi selain perlu diajar untuk menjadi pengguna yang bijak serta berwaspada.

“Ini agar golongan ini tidak terpengaruh dengan maklumat palsu atau disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Kita juga harus berhati-hati bahawa penggunaan teknologi secara tidak terkawal boleh membawa kepada penyalahgunaan maklumat, kehilangan privasi dan ancaman kepada keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca teks ucapan Menteri Perpaduan Datuk Aaron Ago Dagang pada Majlis Pelancaran Malaysiaku Merdeka Peringkat Negeri Melaka Tahun 2024, di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Siti Faizah Abdul Azis; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Mohamad Sobri Mat Daud dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN) Zulkifli Hashim.

Saraswathy berkata, perpaduan adalah ‘work-in-progress’ yang mana setiap rakyat adalah bertanggungjawab dan berperanan menjaga keharmonian sedia ada.

“Kekuatan hubungan masyarakat yang berpaksikan konsep, faham, hormat dan terima membentuk masyarakat Malaysia yang bersatu padu.

“Selain mempertahankan pengisian kemerdekaan, di era digitalisasi ini ia seharusnya suatu pemudah cara yang melibatkan seluruh organisasi pelaksana sistem kerajaan dan juga pengguna yang merupakan rakyat Malaysia.

“Kerajaan MADANI sentiasa meletakkan keutamaan digitalisasi dalam setiap agenda dan juga perancangan kerajaan,” katanya.

Jelasnya, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua dan janganlah biarkan ‘kuman perpecahan’ meruntuhkan kesepaduan yang sudah dibina selama ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

152
Kongsi :
Previous post 51 pelajar kolej keracunan makanan, 7 kafe diarah tutup
Next post Sepak takraw Melaka raih pencapaian terbaik di SUKMA XXI
Ubah saiz-+=