Didenda RM25,000 miliki ‘Adidas’ tiruan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 15 Julai – Padah memiliki pakaian sukan berjenama ‘Adidas’ tiruan, seorang pemilik premis didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Wan Mohd Zamani Wan Mohd Najib, 41, selepas dia membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan 212 helai jersi dan 51 helai seluar panjang berjenama Adidas.

Yang mana suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh disebuah premis di Bachang, di sini, pada jam 3.55 petang pada 17 Januari 2020.

Justeru, dia didakwa melakukan kesalahan dibawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan dengan salah cap dagangan berdaftar atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Sallim Wahid, memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan dengan mengambil kira barangan rampasan merupakan barangan dagangan dilindungi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman ringan dikenakan dengan alasan perniagaannya kini terjejas ekoran perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain menanggung anak kecil.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh didenda RM25,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda dikenakan.

Views:

385
Kongsi :
Previous post Industri gaharu bakal diperkasa dalam RMKe-12
Next post Teruja dan debar kembali ke sekolah
Ubah saiz-+=