DEWAN SELERA, KAFETERIA MRSM TERENDAK DIARAH TUTUP DUA MINGGU

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 28 September – Dewan Selera dan Kafeteria Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak, Sungai Udang diarah tutup selama 14 hari susulan berlaku kes keracunan makanan membabitkan 48 pelajarnya, kelmarin.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, notis penutupan itu dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka berkuatkuasa semalam, mengikut Akta Pencegahan dan Pegawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Makanan 1983.

Ia selepas hasil siasatan mendapati terdapat bukti kehadiran tikus, selain peti sejuk tidak mengikut piawaian.

“Penutupan ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dijalankan serta-merta dan pada masa sama, kedua-dua Dewan Selera dan Kafeteria turut diberikan kompaun.

“Selain itu, koperasi MRSM berkenaan turut diberikan arahan supaya menghentikan dahulu jualan makanan siap bungkus daripada pembekal luar sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Justeru, buat sementara waktu, beberapa katering telah dicadangkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membekalkan makanan kepada pelajar MRSM Terendak,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Hee Sem, buat masa ini kesemua pelajar terlibat dengan keracunan makanan tidak ditahan di wad kerana hanya mengalami gejala ringan seperti cirit-birit, muntah dan demam.

Semalam, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengadakan lawatan mengejut ke MRSM berkenaan susulan aduan terdapat pelajar mengalami keracunan makanan.

Dalam lawatan itu, beliau menyifatkan keadaan di MRSM Terendak sebagai paling daif dan uzur apabila kebanyakan fasiliti termasuk tandas dan bilik guru tidak boleh digunakan, selain terdapat kesan najis tikus di dapur masak Dewan Selera MRSM berkenaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

69
Kongsi :
Previous post PERHEBAT PROGRAM KESEDARAN KANSER KANAK-KANAK
Next post MAIM CAKNA KEBAJIKAN ASNAF, AGIH LEBIH RM102 JUTA DANA ZAKAT
Ubah saiz-+=