Dewan Rakyat bentang SOP persidangan kekang Covid-19

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

KUALA LUMPUR 13 Julai – Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof hari ini membentangkan prosedur operasi standard (SOP) fasa pemulihan persidangan Parlimen bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Membuka tirai hari pertama Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Parlimen ke-14, Mohamad Ariff berkata SOP yang disediakan adalah bagi membolehkan kesemua ahli Dewan Rakyat bersidang dengan selamat dan terkawal.

“Kita perlu melalui kebiasaan baharu bagi mengekang wabak ini termasuk mematuhi aspek jarak sosial… tambahan pula terdapat 87 Ahli Dewan Rakyat yang berumur lebih 60 tahun yang pastinya lebih berisiko,” katanya.

Selain Ahli Parlimen dinasihatkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalam dewan, antara SOP yang ditetapkan adalah menempatkan hanya 174 ahli Dewan Rakyat di tempat duduk ruang utama Dewan Rakyat setelah mengambil kira jarakan sosial tempat duduk sejauh satu meter serta ahli penyokong kerajaan berada di tempat duduk pegawai.

Daripada jumlah keseluruhan 222 Ahli Parlimen, sebahagian daripada ahli penyokong kerajaan dan Ahli Parlimen Bebas ditempatkan di Galeri Awam manakala Ahli Parlimen pembangkang di tempat duduk pegawai di bahagian sebelah kiri Yang Dipertua.

Selain itu, SOP berkenaan turut menempatkan pegawai kerajaan yang terlibat dengan urusan jawapan menteri dan timbalan menteri di tempat duduk pegawai dengan kapasiti terhad.

Ketika Mohamad Ariff menjelaskan SOP berkenaan, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Port Dickson), yang juga Ketua Pembangkang, bangkit dan bertanya sekiranya ahli Dewan Rakyat boleh diberikan kemudahan tambahan seperti mikrofon bagi memudahkan penglibatan mereka dalam persidangan.

“MP (Ahli Parlimen) yang dipilih rakyat menghadapi kesukaran, saya minta pihak Parlimen menyegerakan supaya dapat kemudahan,” katanya.

Mengenai permohonan itu, Mohamad Ariff berkata mereka yang berada di Galeri Awam boleh turun ke ruang yang mempunyai mikrofon, dan memaklumkan akan memberi yang terbaik untuk kelancaran persidangan meskipun dalam suasana kebiasaan baharu.

– BERNAMA

Views:

267
Kongsi :
Previous post Parlimen: Tindakan segera perlu diambil kerajaan untuk tangani Covid-19 – PM
Next post PRIHATIN: Tidak rakyat yang akan tercicir – PM
Ubah saiz-+=